NILAI - Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menyelamatkan seorang remaja
lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dikurung di sebuah rumah pangsa, di
sini semasa operasi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati),
kira-kira jam 2 pagi tadi.
Remaja tempatan berusia 15 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak
terurus, di mana tubuhnya kurus kering seperti mayat, dipercayai akibat
kekurangan zat.
Lebih menyedihkan, remaja malang yang dikurung dalam sebuah bilik tidak
bertingkap itu juga dibiarkan bergelumang dalam persekitaran kotor
dipenuhi najis dan tanah.
Difahamkan, baju dipakai mangsa didapati telah mereput akibat sudah
terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri
selama berada di situ.
Menurut Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman, pihaknya sama
sekali tidak menyangka akan menemui remaja terbabit, kerana tujuan asal
pihaknya menyerbu kediaman itu kerana dimaklumkan didiami pendatang
tanpa izin.
"Remaja itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
"Ibu kepada kanak-kanak lelaki berkenaan juga telah dikesan dan kes
tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri
bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita, di sini, awal pagi
tadi. - SH
No comments:
Post a Comment