MELAKA - Pertambahan hasil daripada pelaksanaan cukai barang dan
perkhidmatan (GST) akan membolehkan kerajaan menimbang pelbagai
permintaan termasuk kenaikan elaun penjawat awam, kata Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan memerlukan hasil tambahan baharu bagi memenuhi
permintaan itu dan sistem GST yang lebih telus serta efisien dilihat
dapat membantu menambah hasil kerajaan.
"Kalau Presiden Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam) nak minta tambah elaun dan sebagainya, saya sebagai
Menteri Kewangan perlu cari hasil tambahan, barulah boleh saya
pertimbangkan.
"Kita tidak boleh pinjam duit daripada institusi kewangan seperti Bank
Dunia nak bayar gaji, elaun... tak boleh, resepi itu boleh membawa
kepada bencana ekonomi," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Hari
Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, hari ini.
Katanya rasional pelaksanaan GST perlu difahami masyarakat di setiap
peringkat sebagai suatu sistem yang mendatangkan kebaikan kepada negara
dan rakyat.
Najib turut menegaskan pelaksanaan GST bukan untuk membebankan rakyat
sebaliknya untuk memperkukuhkan hasil negara yang kemudian diagihkan
kembali kepada rakyat.
"Bukan semua barang akan naik (dan) bukan semua perkhidmatan akan naik
(disebabkan GST), banyak barangan perkhidmatan asas akan dikecualikan
daripada GST, inilah yang patut kita faham," katanya.
GST diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014 di
Parlimen Oktober tahun lepas dan akan dilaksanakan mulai 1 April 2015,
menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.
Sistem cukai baharu itu menetapkan enam peratus kadar cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan berjumlah 16 peratus.
Sementara itu, mengulas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang
dikhuatiri Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bakal memberi kesan
negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan warga pekerja, Najib
berkata negara yang menyertai perjanjian TPP mempunyai kelebihan
tertentu terutamanya dalam perkara melibatkan pelaburan dan pasaran.
"Malaysia tiada pasaran domestik yang besar seperti Indonesia atau
China, kita bergantung kepada pasaran dunia, kalau kita hilang daya
saing maka jumlah pelaburan dalam negara akan merudum dan akhirnya tidak
berjaya menambah pekerjaan atau menaikkan kualiti pekerjaan ke
peringkat lebih tinggi lagi," katanya.
Namun, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat serta
tidak akan membuat keputusan sehingga mengorbankan kepentingan negara. -
Bernama
No comments:
Post a Comment