KUALA LUMPUR - Sebanyak RM400 juta dibelanjakan oleh kerajaan bagi
pemberian Netbook 1Malaysia kepada guru sepertimana yang dijanjikan
bersempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata, bagi pembiayaan tersebut kerajaan menggunakan dana Pemberian
Perkhidmatan Sejagat (USP) dan pemberian akan dilaksanakan dengan
kerjasama Kementerian Pendidikan.
"Untuk fasa ini sebanyak 48 pembekal telah dilantik oleh kementerian untuk membekal Netbook 1Malaysia kepada 400,000 guru.
"Antara jenama netbook yang akan diagihkan kepada guru ialah Lenovo,
Samsung, Asus, Acer dan juga HP," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Shabery berkata demikian bagi menjawab soalan Nurul Izzah
(PKR-Lembah Pantai) yang bertanyakan mengenai kos yang ditanggung oleh
kementerian dalam membekalkan 400,000 Netbook 1Malaysia kepada guru-guru
bersempena sambutan Hari Guru.
Dalam pada itu, tambah Shabery, pemberian tersebut menunjukkan bahawa
bukan hanya pelajar yang perlu dilengkapi dengan kemudahan netbook dalam
usaha memastikan penggunaan teknologi secara menyeluruh dalam bidang
pendidikan.
"Ada yang berkata bahawa kalau kita bagi pada murid-murid sahaja siapa
yang akan mengajar murid-murid tersebut, maka ada pandangan yang
guru-guru juga perlu dibekalkan.
"Sebab itu pada tahun ini kita kembangkan pada guru-guru dan ini
sebahagian daripada hadiah Hari Guru kami daripada kementerian kepada
guru-guru," katanya
Beliau juga menegaskan netbook yang dibekalkan kepada pelajar mempunyai jaminan dan kualiti terbaik.
"Memang ada isu yang berkaitan dengan kualiti dan sebagainya, tetapi
semuanya kita sudah beritahu bahawa mereka yang memperolehinya akan
dibekalkan dengan satu tahun jaminan (waranti) dan ada lebih kurang 174
tempat di seluruh negara jika ianya rosak.
"Selagi tempoh jaminan masih ada saya rasa tidak menjadi alasan untuk kita mengatakan bahawa program ini tidak baik," katanya. - SH
No comments:
Post a Comment