17 June 2014

Hanya 38 syarikat berdaftar keluar visa umrah

KUALA LUMPUR - Hanya 38 syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berdaftar dengan kerajaan Arab Saudi dibenarkan mengeluarkan visa umrah, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
  

Beliau berkata senarai 38 syarikat pengelola umrah yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi boleh didapati di laman sesawang kementeriannya.
  
"Hanya syarikat-syarikat ini diberi kuasa untuk berurusan tentang visa umrah ini.
  
"Oleh itu, apa yang kita lakukan untuk melindungi mereka yang berhajat untuk menunaikan umrah ialah meminta mereka terus melawat laman sesawang kementerian dan melihat nama syarikat yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
  
Bung Mokhtar ingin tahu langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menghalang berlakunya kes penipuan visa umrah.

"Mereka yang ingin membeli pakej umrah perlu memeriksa laman kementerian dan sekiranya nama syarikat itu tidak ada dalam senarai 38 syarikat, janganlah beli pakej itu.
  
"Orang ramai perlu berhati-hati. Selalunya, pakej umrah berharga RM4,500 (secara purata), dan adanya syarikat menawarkan di bawah RM3,000, ini bermaksud menipu. Ini kerana tidak cukup untuk membiayai perjalanan," katanya.
  
Mengulas mengenai kes penipuan pakej umrah, Mohamed Nazri berkata mangsa masih boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menuntut balik wang mereka.
  
Katanya dari tahun 2009 sehingga Mei tahun ini, sebanyak sembilan kes penipuan umrah direkodkan, membabitkan lapan buah syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berlesen, dan sebuah syarikat pengendalian pelancongan yang tidak berlesen.
  
Kesemua kes ini melibatkan 3,611 mangsa dengan anggaran kerugian sebanyak RM14.1 juta. - Bernama

No comments:

Post a Comment