Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menangguhkan permohonan
pengesahan lafaz cerai yang difailkan pelakon Abby Abadi terhadap
suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang dibuat melalui khidmat
pesanan ringkas (SMS).
Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan
semula kes itu selepas Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan,
37, memaklumkan terdapat satu lagi lafaz cerai yang masih belum difail
dan disahkan oleh mahkamah.
Dalam prosiding itu, Abby memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya
Muhammad Noor Farhan, 25, pernah memberitahu kepada rakannya bahawa
mereka sudah bercerai pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pelakon itu berkata beliau tidak pernah memfailkan
permohonan pengesahan lafaz cerai itu kerana mereka sudah merujuk
kembali dan perkara itu sudah dirujuk kepada ulama sebelum ini.
Kenyataan Abby itu mengejutkan orang ramai termasuk media yang berada
di dalam galeri awam dan Shaiful Azli kemudian meminta supaya pelakon
itu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut secepat
mungkin.
"Kalau kamu sudah berbaik semula pun, kamu tetap kena failkan
permohonan itu kerana lafaz yang pertama itu perlu disahkan dan
sekiranya lafaz itu sah, mahkamah khuatir jumlah talak bertambah,"
katanya.
Terdahulu, Abby selaku plaintif memberitahu mahkamah bahawa Muhammad
Noor Farhan selaku defendan melafazkan cerai kepadanya melalui SMS yang
tertera "Aku ceraikan kau" kira-kira jam 10.25 pagi pada 9 Mei lepas.
Menjawab lanjut soalan hakim, Abby yang pernah berlakon dalam drama
bersiri "Gerak Khas", memberitahu mahkamah beliau turut menerima satu
lagi rantaian SMS yang dihantar suaminya yang mengandungi ayat "Mulai
hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" selepas mereka
berbalas SMS pada hari yang sama.
Abby, yang berada di dalam keadaan suci dan tidak mengandung ketika
lafaz cerai itu dibuat, berkata SMS itu dihantar kepadanya selepas
timbul perselisihan faham pada malam itu yang berlarutan hingga ke pagi
berikutan suaminya itu tidak pulang ke rumah.
"Semasa saya terima SMS itu, saya berada di dalam kereta tetapi saya
tidak ingat ada atau tidak membalas mesej itu untuk mendapatkan
kepastian daripadanya dan kami hanya berkomunikasi melalui SMS," katanya
sebak sambil menambah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak lafaz
cerai itu dibuat.
Dalam pada itu, Muhammad Noor Farhan yang kelihatan tenang bersetuju
dengan penjelasan Abby dan mengesahkan beliau berada dalam keadaan waras
dan menghantar SMS itu kepada Abby dengan niat untuk bercerai tanpa
paksaan sesiapa.
Abby memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Sejurus selesai kes, Muhammad Noor Farhan bergegas meninggalkan
mahkamah sebelum pihak media sempat mendapatkan sebarang penjelasan
berhubung kes itu.
Sementara itu, Abby ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata
beliau tidak menyangka perkara itu berlaku sekelip mata dan berakhir
dalam masa yang singkat.
"Saya sayang sangat-sangat padanya, namun saya tidak diberi ruang untuk
bersemuka dan memperbaiki hubungan. Saya redha dengan ketentuan
daripadaNya dan masih berharap ia dapat diselesaikan dengan baik,"
katanya yang hadir ke mahkamah dengan ditemani dua anak perempuannya.
Abby dan Muhammad Nor Farhan bernikah di Selatan Thailand pada 9 Julai
tahun lepas di selatan Thailand selepas dua minggu berkenalan dan
mendaftarkan perkahwinan mereka di Kelantan.
Abby pernah diceraikan oleh pelakon Norman Hakim di mahkamah yang sama
pada 18 Disember 2008 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga
orang anak. – Bernama, 29 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment