29 May 2014

Nurul Izzah mohon hak penjagaan dua anaknya

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memfailkan tuntutan hadhanah (hak penjagaan) terhadap dua anaknya yang berusia tujuh dan empat tahun di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam Azmi Mohd Rais yang mewakili suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, memaklumkan demikian ketika kes mereka disebut di dalam kamar Hakim Syarie Amran Mat Zain, di sini, hari ini.

Permohonan itu difailkan Nurul Izzah pada 30 April lalu melalui peguam Nor Mawaddah Ramli.

Peguam itu memfailkan permohonan dan dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada defendan dan peguamnya pada 24 Mei lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Azmi berkata, mahkamah turut menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Raja Ahmad Shahrir Iskandar selaku responden bagi menyempurnakan wakalah pelantikan peguam secara rasmi.

Azmi dan peguam Syarie Zulkifly Che Yong akan menyerahkan wakalah ekoran Raja Ahmad Shahrir tidak hadir kerana berada di luar negara.

Nurul Izzah, 34, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu awal Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari.
 
Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun. - SH

No comments:

Post a Comment