31 May 2014

MH370: Tiada cara lain, pencarian perlu bergantung kepada data INMARSAT- Kapten Nik

Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan menyifatkan data dari firma satelit Britain, INMARSAT memainkan peranan penting dalam misi pencarian seterusnya pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Katanya tiada cara lain ketika ini, selain bergantung sepenuhnya kepada maklumat dari INMARSAT itu.

Nik Huzlan mengulas mengenai laporan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada 29 Mei, yang menyimpulkan bahawa pesawat MH370 tidak hilang di kawasan empat isyarat ping dikesan sebelum ini.

Menurut Nik Huzlan, sekurang-kurangnya dengan adanya maklumat INMARSAT, penyiasat pasti pesawat hilang dari radar pada jam 2:15 pagi dan pesawat MH370 masih terbang di udara sehingga 8:19 pagi pada 8 Mac.

“Apabila kajian mendalam dibuat ke atas data tersebut, pihak tertentu telah mengunakan kesan Doppler untuk mengetahui arah MH370 setelah ia keluar dari kesan radar. Ini juga dipersetujui oleh pakar bebas yang meneliti data yang dikongsikan tempoh hari.

“Jadi data INMARSAT amatlah penting” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Nik Huzlan turut berpendapat pencarian seterusnya harus dibuat di lokasi awal pencarian yang dikenalpasti oleh data INMARSAT.

Beliau juga tidak yakin dengan beberapa khabar angin yang kononnya pesawat hilang bukan di lokasi dari maklumat yang dianalisis dari data INMARSAT.

"Pihak SAR sebelum ini, telah membuat kajian terperinci bersabit isu MH370 berada di Teluk Bengal atau Laut Cina Selatan dan berdasarkan fakta-fakta sedia ada yang diambilkira, saya bersetuju untuk tidak membuang masa mencari di tempat-tempat tersebut." katanya.

Dalam pada itu, Nik Huzlan mengharapkan agar keluarga mangsa tabah dan dapat maju ke hadapan tanpa ahli keluarga mereka yang hilang.

Oleh yang demikian beliau berharap agar pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah yang lebih sensitif serta wajar dalam memberi pencerahan kepada kaum keluarga mangsa.

“Saya bersimpati terhadap pihak ahli keluarga mangsa yang masih menanti dengan penuh harapan dan saya berharap agar pihak tertentu tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka yang menggunakan perkhidmatan MAS,” terang Nik Huzlan yang sudah mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang penerbangan. - Astro

No comments:

Post a Comment