Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup tidak layak
memegang portfolio perpaduan nasional selepas mengatakan hudud akan
merosakkan hubungan antara kaum, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa).
Presidennya Datuk Ibrahim Ali menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak segera memindahkan Kurup ke kementerian lain kerana kenyataannya
itu tidak sensitif kepada umat Islam.
“Saya kutuk keras kenyataan Kurup. Siapa dia Kurup nak kata begitu? Dia
menteri bertanggungjawab kepada perpaduan nasional. Bagaimana dengan
kepentingan orang Islam? Jika perkara berkaitan agama ditentang, adakah
ini membantu perpaduan?
“Bila dia kata (begitu) mencemar keharmonian agama. Saya menggesa
Perdana Menteri untuk memindahkannya sebagai menteri yang
bertanggungjawab kepada perpaduan nasional. Dia patut ditukar kepada
kementerian lain,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama wakil
Suruhanjaya Tinggi Brunei di Kuala Lumpur hari ini.
Kurup hari ini mendakwa cadangan PAS untuk memperkenalkan hudud akan
mengancam perpaduan nasional, integrasi dan keharmonian di Malaysia,
katanya seperti dilapor akhbar milik MCA, The Star.
Katanya, perdebatan mengenai hudud akan melukai hati bukan Islam dan mereka tidak gembira untuk menerimanya.
Ibrahim berkata kenyataan Kurup berkenaan tidak adil dan hanya mewakili
bukan Islam malah menafikan kedudukan agama Islam sebagai agama
Persekutuan.
“Saya nak tekankan negara ini agama Islam adalah agama Persekutuan dan
majoriti orang Melayu tetapi dia awal-awal lagi dah berat sebelah
terhadap Islam dalam kepalanya.
“Kita tahu perpaduan Melayu dan kepentingan agama Islam adalah teras
kepada perpaduan nasional. Jika dia tidak ada perasaan ini, bagaimana
dia nak mempromosikan perpaduan?” katanya.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengingatkan ahli Parlimen Umno
dan PAS agar berhenti mempolitikkan hukum hudud dan mengingati hukuman
berkenaan adalah suruhan Allah.
Katanya, jawatankuasa teknikal hudud ditubuhkan kerajaan dan tiada
individu kepentingan politik yang menggerakkan jawatankuasa tersebut.
“Saya juga menasihatkan parti politik Melayu, Umno dan PAS untuk
berhenti mengeluarkan kenyataan politik. Malulah kepada negara kecil
seperti Brunei. Kita bukan cari kebaikan suruhan Allah tetapi semua mahu
mencari kepentingan politik.
“Ingatlah hidup hanya sementara. Kepada pemimpin PAS dan Umno, mereka beragama Islam.
“Ingatlah pembalasan Allah di akhirat nanti. Jangan permainkan agama
Allah. Jangan guna agama untuk kepentingan politik,” katanya.
Ibrahim juga sempat meminta MCA agar sedarkan diri mereka dalam arena
pentas politik di Malaysia dan tidak keterlaluan menentang Umno.
Katanya, Umno sejak dahulu lagi beralah kepada MCA, maka parti Cina itu
jangan sesekali memberi tentangan kepada aspirasi umat Islam.
“Saya cuma nak ingatkan MCA dalam peta politik Malaysia, mereka dikira sebagai parti politik yang sudah berlalu.
“Kita kena terima kenyataan itu. MCA selalu selamat kerana pengundinya separuh Melayu atau 60% Melayu.
“Umno berkorban kerusi kepada MCA demi tolak ansur kepada kaum Cina dan
berkongsi kuasa politik sejak merdeka. Cuba kita toleh ke belakang.
“Pernah MCA menang kerusi Bukit Bintang, Seputeh, Kepong, Jelutong,
Kota Melaka dan Ipoh Timur? Tak pernah menang malah sebelum tsunami
politik 2008,” katanya.
Ibrahim berkata jika MCA terus memberi tentangan kepada hudud, maka
undi Melayu yang sebelum ini berpihak kepada MCA akan menyebelahi PAS.
Katanya, MCA harus menerima kenyataan itu dengan tidak memberi tentangan terhadap hudud.
“JIka mereka sertai Kabinet, orang Melayu-Islam tidak akan menyokong
MCA. Semua undi Melayu akan pergi kepada PAS. Saya katakan kepada MCA
jangan terus buat kesilapan.
“Jika dukung Perlembagaan dan menerima Islam, jangan kata tidak
menentang Islam, hanya hudud sahaja. Hudud adalah sebahagian daripada
Islam,” katanya.
Pemimpin radikal itu turut mengambil kesempatan mencerca mendiang
Karpal Singh dengan mendakwa peguam ulung itu bukan jaguh Perlembagaan.
Katanya, kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau dikenali
sebagai Mat Sabu yang menyebelahi Karpal dan menyalahkan Tun Dr Mahathir
Mohamad kerana menolak hudud adalah tidak tepat.
“Mat Sabu bela mendiang Karpal dan mendakwa kononnya Dr Mahathir
menghina Islam. Saya nak tanya Mat Sabu jika betul Karpal mempertahankan
Perlembagaan, mengapa mendiang tidak pernah mengeluarkan kenyataan bila
orang mengusik Perlembagaan?
“Pernah Karpal pertahan Perkara 153? Jika orang kata Karpal mempertahan
Perlembagaan pada saya, jangan mengarut.. Dia tak konsisten. Hanya jaga
kepentingannya,” katanya. – 5 Mei, 2014. - TMI
No comments:
Post a Comment