Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini tidak menolak kemungkinan
insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ketika dalam
perjalanan ke Beijing pada 8 Mac itu angkara Agensi Perisikan Pusat
(CIA) Amerika Syarikat (AS).
Penolong Pengarangnya, Ku Seman Ku Hussein berkata jika serangan ke
atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001
dirancang oleh CIA, maka tidak mustahil kehilangan pesawat MH370 itu
juga dapat dikaitkan dengan agensi risikan itu.
“Marilah kita berfikir di luar kotak mengenai tragedi paling besar bagi
negara kita dan sejarah penerbangan dunia. Apakah tidak boleh diterima
akal misalnya tragedi ini dirancang oleh pihak tertentu untuk
menjejaskan hubungan dengan China?
“Konspirasi
peringkat tertinggi melibatkan CIA dalam tragedi 11 September bukan
perkara baru. Banyak fakta dan hujah yang meyakinkan dibentangkan.
Banyak pihak menerima hakikat 11 September adalah rancangan AS untuk
mendapat 'tiket' menyerang Afghanistan dan Iraq,” katanya menerusi
akhbar edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia hari ini.
Misi pencarian MH370 hari ini memasuki hari ke-29 dan semalam kapal
peronda China, Haixun 01, yang menyertai misi pencarian MH370 mengesan
isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.
Agensi berita China, Xinhua, menyatakan kapal itu mengesan isyarat
detik pada frekuensi 37.5 kilohertz (kHz) sesaat kira-kira 25 darjah
latitud selatan dan 101 darjah longitud timur.
Ku Seman berkata Malaysia perlu menaruh rasa curiga dengan pihak luar
yang ada sejarah liarnya, bertujuan mengeruhkan hubungan dua hala dengan
negara China.
Katanya, konspirasi 11 September yang dianggap karut kini menjadi satu
fakta dan pihak berkuasa perlu melihatnya daripada perspektif berbeza.
“CNN kelihatan begitu beremosi apabila Malaysia tidak membenarkan CIA
mengetuai pencarian pesawat MH370. Kemudian bertindak menyemarakkan
kemarahan keluarga penumpang warga China hingga menggugat hubungan
Malaysia - China.
“Tidak semua pandangan yang dianggap karut hanya teori konspirasi
kosong semata-mata. Saya percaya pihak berkuasa tidak anggap semuanya
karut. Mereka lebih bijak daripada CIA.” katanya.
Mengambil contoh insiden 11 September, Ku Seman mempersoalkan bagaimana
CNN berjaya merakam WTC runtuh dalam tempoh beberapa saat.
Katanya, dalam satu undian menjelang Pilihan Raya AS 2006, satu
daripada tiga rakyat AS percaya tragedi itu dirancang oleh George W Bush
dan peringkat tertinggi CIA.
“CNN antara alat perang psikologi bagi mencapai agenda AS menguasai
dunia. Cuba bertanya, bagaimana jurukamera CNN mendapat shot daripada
pelbagai sudut menara WTC ketika dirempuh oleh pesawat?
Serangan itu berlaku dalam masa "hanya beberapa saat", tetapi CNN
sempat merakamkannya daripada pelbagai arah. Wah, sungguh luar biasa.
Soalnya adakah jurukamera CNN sudah bersedia di sekeliling WTC? Kalau
benar begitu, bagaimana mereka tahu serangan itu akan berlaku?” katanya.
– 6 April, 2014. - TMI
No comments:
Post a Comment