SHAH ALAM – Sejak kehilangan pesawat MAS MH370 8 Mac lalu, beberapa
negara telah mendedahkan penemuan satelit mereka yang menunjukkan objek
berpotensi dikaitkan dengan pesawat berkenaan.
Negara-negara tersebut ialah Australia, Perancis, Thailand, Japan dan
tidak ketinggalan United Kingdom melalui satelit Inmarsat.
Namun, agak menghairankan apabila negara yang mempunyai rangkaian
satelit tercanggih di dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) langsung tidak
berkongsi penemuan satelit mereka.
Seperti diketahui juga, AS merupakan negara yang paling mendahului
dalam bidang penguasaan teknologi, termasuklah peralatan dan pesawat
canggih yang pastinya mempunyai keupayaan untuk mengesan di mana
sesebuah pesawat berada.
Sebagai contoh, AS memiliki dan melancarkan satelit reconnaissance
(pemantauan) paling banyak dengan kemampuan yang boleh menjangkau luas
seluruh pelosok dunia.
Pernah digunakan sewaktu perang di Iraq dan Afghanistan, satelit yang
sering kali dirujuk sebagai satelit perisikan ini bukan saja berfungsi
mengambil gambar.
Malah, ia juga digunakan sebagai pengendali peluru berpandu nuklear dan
membantu sistem komunikasi antara markas tentera dengan sistem
keselamatan yang tidak mudah ditembusi.
Dalam kes membabitkan pesawat komersial, satelit dengan teknologi
infra-red ini pernah mengesan letupan TWA Flight 800 pada 1996 di Lautan
Atlantik.
Bukan saja satelit, AS juga memiliki kecanggihan radar yang boleh
mengesan sebarang isyarat atau objek walaupun ianya bersaiz kecil.
Perkara itu turut diakui pakar kejuruteraan penerbangan Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Dr Rizal Effendy Mohd Nasir yang dalam satu
laporan Sinar Harian berkata, radar ketenteraan milik AS di Diego Garcia
mampu menjejaki pesawat MH370 sekiranya lokasi penerbangan terakhir
adalah di Lautan Hindi.
Menurutnya, radar jenis Active Electronically Scanned Array (AESA) yang
digunakan di pangkalan ketenteraan itu boleh mengesan pesawat atau
kapal yang berada ribuan meter di atas udara mahupun laut berserta
jenis, kelajuan dan sebagainya.
Katanya, setiap kapal dan pesawat yang terdapat di pangkalan
ketenteraan terbabit juga dilengkapi dengan radar pertahanan udara yang
mampu mengesan objek beribu-ribu kilometer jauhnya termasuk apa yang
terkandung di dasar Lautan Hindi.
Tidak cukup itu, USS 7th Fleet Navy yang dihantar dalam operasi mencari
dan menyelamat (SAR) MH370 turut dilengkapi radar paling canggih.
Dengan kepakaran dan kecanggihan aset dimiliki AS ini, sememangnya
menimbulkan persoalan besar mengapa MH370 masih tidak dapat dikesan oleh
negara berkenaan.
Untuk menganggap kehebatan teknologi AS sebagai cerita yang direka-reka
mungkin agak mustahil. Atau mungkin juga kita boleh menganggap AS tidak
mendedahkan segala maklumat kepada umum kerana diklasifikasikan sebagai
rahsia ‘besar’.
Namun, apa yang lebih dikhuatiri ialah AS sebenarnya mempunyai agenda
tertentu di sebalik ‘persembunyian’ teknologinya yang tidak diketahui
oleh Malaysia. - SH
No comments:
Post a Comment