01 April 2014

Seminggu sebelum isyarat kotak hitam lenyap

KUALA LUMPUR - Selepas 25 hari pesawat MH370 hilang, pihak berkuasa kini mempunyai tempoh seminggu untuk mencari bukti fizikal terutamanya kotak hitam pesawat itu kerana isyarat daripada perakam itu bakal lenyap tidak lama lagi.

Isyarat yang dipancarkan daripada kotak hitam itu menggunakan kuasa bateri yang akan berakhir selepas 30 hari, dan adalah sukar bagi operasi pencarian menjejakinya tanpa isyarat khususnya di kawasan luas seperti di Lautan Hindi.

Operasi pencarian oleh pelbagai negara telah mengenal pasti kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, iaitu kira-kira 1,850km dari barat Perth di Australia, sebagai kemungkinan lokasi pesawat itu berakhir.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam berkata, 10 pesawat termasuk sebuah pesawat awam dan 10 kapal telah memulakan perjalanan ke kawasan carian untuk mencari serpihan yang mungkin mempunyai kaitan dengan MH370 itu. 

Jika mereka menemui serpihan itu dan mengesahkannya daripada pesawat berkenaan, ia akan membantu pasukan mencari untuk mengecilkan kawasan pencarian kotak hitam itu.

Bagaimanapun, dengan ketibaan kapal Ocean Shield yang dilengkapi alat pengesan isyarat, dan kapal selam kecil tanpa pemandu Bluefin 21 yang dijangka tiba di kawasan pencarian pada Khamis, harapan tinggi disandarkan bagi mengesan kotak hitam itu.

Mengenai objek berpotensi yang dikesan pada Sabtu, Hishammuddin berkata lima objek diambil oleh kapal perang tentera laut Australia OHMAS Success dan Haixun, sebuah kapal dari China.

"Bagaimanapun, didapati tiada ada satu pun objek itu yang berkaitan dengan  MH370," katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai perkembangan terkini berhubung misi pencarian MH370 di sini, semalam.

Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di "selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).

Najib juga akan melawat Perth, Australia pada Rabu ini untuk melihat sendiri operasi mencari pesawat yang hilang di Lautan Hindi itu.

"Perdana Menteri kami memutuskan pergi ke Perth pada Rabu bagi lawatan kerja ke pangkalan tentera udara Pearce untuk melihat sendiri operasi dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang terlibat dalam usaha mencari pelbagai negara ini, termasuklah kakitangan dari Malaysia," kata Hishammuddin.

Sementara itu, rakan kongsi kod MAS, China Southern Airlines, telah bersetuju untuk bekerjasama dengan MAS dalam memberi bantuan kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370.

Namun, ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat penerbangan nasional itu memikul lebih tanggungjawab di atas kehilangan MH370 kerana pesawat itu dimiliki MAS.

Penerbangan MH370 turut dipasarkan sebagai Penerbangan 748 (CZ748) China Southern Airlines, dengan ada penumpang yang memegang tiket syarikat penerbangan China itu.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama

No comments:

Post a Comment