30 April 2014

Catuan air di Selangor berakhir esok

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa catuan air di negeri ini yang berlarutan sejak dua bulan lalu, berakhir esok.

Abdul Khalid berkata, oleh itu rakyat Selangor dapat menikmati penggunaan air seperti biasa bermula esok atau selewat-lewatnya Jumaat ini.

"Pengagihan air berjadual yang dilakukan secara berperingkat di Selangor yang bermula Februari lalu akan diberhentikan secara serentak bermula 1 Mei 2014 (Khamis) ini.

"Sehubungan itu kawasan-kawasan yang terlibat dengan catuan air itu akan mendapat air seperti biasa selewat-lewatnya Jumaat ini untuk kawasan air rendah.

"Keputusan ini telah dimaklumkan kepada semua pihak iaitu,Jabatan Air dan Saliran Selangor, SPAN dan syarikat-syarikat lain, kita juga telah maklumkan kepada Syabas untuk pastikan pengguna mendapat air seperti biasa," katanya ketika sidang media di  Pejabat Menteri Besar Selangor, hari ini.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri berpendapat tidak perlu menunggu empangan mencapai takungan 50 peratus kerana yakin usaha keras yang dilakukan dengan mengepam air kolam selain hujan berterusan di kawasan tadahan air akan meningkatkan lagi paras empangan.

"Setakat ini paras air di empangan Sungai Selangor mencecah 40 peratus dan perkembangan tentang turun naik paras empangan akan dimaklumkan oleh Dr Ahmad Yunus Hairi (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam) dari semasa ke semasa," katanya.

Ketika ditanya sama ada keputusan tersebut dibuat dengan bermotifkan politik, beliau berkata, perkara itu tiada kaitan dengan pemilihan PKR.

"Ini tiada kena mengena dengan pemilihan parti yang sedang berlangsung pada ketika ini. Keputusan ini dibuat demi kepentingan rakyat hasil perbincangan semua pihak terlibat," katanya.

Abdul Khalid bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam saingan tiga penjuru menentang penyandangnya, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan terus memantau perkembangan ini untuk memastikan paras air di empangan terus meningkat.

"Keputusan membatalkan perintah catuan ini turut akan dikaji dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperhebatkan usaha untuk menambah bekalan air sebagai persediaan menghadapi musim kering panjang yang dijangka bermula pada akhir Mei hingga September ini.

"JPS telah membekalkan 10 buah pam air yang digunakan untuk mengepam air dari kolam dan hilir sungai ke Sungai Selangor," katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa menjaga keselamatan pengguna dan akan memberi maklumat penuh sekiranya terdapat keraguan terhadap penggunaan air kolam tersebut.

"Kerajaan juga merayu agar semua rakyat mengamalkan penggunaan air terawat secara berhemah dengan menggunakan air hujan bagi aktiviti luar seperti membasuh kereta atau menyiram pokok," kata Abdul Khalid. - SH

No comments:

Post a Comment