05 March 2014

TPM: Pengetua berkuasa tutup sekolah kerana jerebu


Kementerian Pendidikan telah mengaktifkan arahan tetap bagi sekolah-sekolah mengambil langkah sewajarnya sekiranya jerebu bertambah buruk, termasuk memberi kuasa kepada pengetua untuk menutup sekolah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata guru besar dan pengetua hanya perlu memaklumkan mengenai penutupan sekolah kepada Pegawai Pendidikan Daerah.

"Guru besar dan pengetua mempunyai kuasa membuat keputusan mengikut panduan yang ditetapkan.

"Ini sudah dikuatkuasakan dan ia terserah kepada mereka (guru dan pengetua)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Negara Kerjaan Tempatan Ke-67 di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan timbalannya Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Muhyiddin berkata sekiranya IPU melebihi 100, pelajar khususnya mereka yang berisiko penyakit asma tidak digalakkan melakukan aktiviti luar dan jika IPU melebihi 150, semua aktiviti luar perlu dihentikan.

Mengenai kes denggi, beliau berkata rakyat harus memainkan peranan untuk memerangi denggi di negara ini walaupun adanya penguatkuasaan undang-undang.

"Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil langkah-langkah sewajarnya seperti semburan kabus untuk memerangi denggi namun belum memberi kesan maksimum dan masih ada ruang untuk diperbaiki.

“Kalau penduduk mengambil langkah-langkah dengan menjaga kebersihan di premis kediaman masing-masing, jadi ini adalah tanggungjawab bukan sahaja di bawah agensi dan kementerian tetapi penduduk juga terlibat,” katanya.

Beliau menegaskan pendidikan dan kesedaran di kalangan penduduk untuk menjaga kebersihan adalah penting.

Berdasarkan laporan yang dibentangkan Kementerian Kesihatan, Muhyiddin berkata kes denggi semakin serius di negara ini dan dijangka mencecah 60,000 kes pada tahun ini.

“Perkara ini tidak boleh dipandang rendah. Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan diminta untuk memberi perhatian lebih serius dengan memberi penjelasan dan penerangan agar penduduk membantu menangani masalah ini,” katanya.

Dari Januari hingga semalam, Muhyiddin berkata 18,165 kes denggi dilaporkan berbanding 4,370 kes pada tahun lepas, yang meningkat sebanyak 316 peratus atau 13,795 kes dan 64 peratus di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sehingga kini, 36 kes kematian denggi dilaporkan tahun ini,” katanya. Pada 2013, sebanyak 43,346 kes denggi dilaporkan berbanding 21,900 kes pada 2012 manakala 92 kematian dilaporkan pada 2013 berbanding 35 kematian (2012).

- Bernama

No comments:

Post a Comment