05 March 2014

PBS yang ditambah baik lebih mesra guru, kata Idris Jusoh


Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh  memberi jaminan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditambah baik lebih mesra guru.

Katanya sistem baru yang akan diumum pada 29 Mac ini tidak akan membebankan guru, sekali gus membolehkan mereka lebih fokus kepada pengajaran.
"Kita sedang mengambil input dan mengemas kini apa yang akan dilaksana kementerian," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Perkongsian Khas bersama bekas-bekas naib canselor universiti Malaysia di Cyberjaya hari ini.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan akan mengumumkan secara terperinci mengenai PBS yang ditambah baik itu.

Kementerian itu sebelum ini menerima pelbagai aduan daripada warga pendidik mengenai PBS menyebabkan kerajaan menangguhkan pelaksanaannya bagi menambah baik sistem tersebut.

Mengulas lanjut, Idris berkata banyak pihak tidak memahami PBS menyebabkan pelbagai perkara dibangkitkan.

"PBS adalah satu bentuk pentaksiran yang lebih menyeluruh yang bukan hanya mengambil kira peperiksaan, tapi juga mengambil kira psikometrik pelajar dan juga perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial pelajar.

"Komponen peperiksaan hanya ada satu sahaja dalam PBS. Tetapi ada juga psikometrik untuk kita mengukur potensi kanak-kanak," katanya. - TMI

No comments:

Post a Comment