10 March 2014

Taiwan terima ancaman serangan pengganas ke atas China


KUALA LUMPUR: Ketua Biro Keselamatan Negara Taiwan mendedahkan pihaknya minggu lalu  menerima ancaman kemungkinan serangan pengganas ke atas lapangan terbang dan sistem pengangkutan keretapi bawah tanah di Beijing, lapor laman web akhbar South China Morning Post (SCMP).

Akhbar di Hong Kong itu bagaimanapun melaporkan tidak ada sebarang petunjuk bahawa amaran itu ada kaitan dengan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang masih gagal dikesan sejak hilang pada awal pagi Sabtu lepas.

"Pihak berkuasa dipercayai menerima maklumat itu daripada China Airlines yang menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang bercakap dalam bahasa Perancis yang mendakwa mahu memberi amaran kemungkinan ada serangan pengganas," lapor laman web SCMP hari ini.

Laporan itu juga menyebut China Airlines hari ini mengesahkan ia menerima panggilan telefon itu pada 4 Mac lepas dan kemudian menyalurkannya kepada pihak berkuasa penerbangan awam dan polis udara Taiwan.

"China Airlines pada 4 Mac menerima panggilan telefon yang mendakwa ada maklumat risikan mengenai pertubuhan pengganas, merujuk kepada China, (yang mengatakan) lapangan terbang Beijing akan diserang oleh pengganas," kata kenyataan syarikat penerbangan itu seperti dipetik oleh SCMP.

Menurut laporan SCMP lagi, ketua biro keselamatan Taiwan, Tsai De-sheng memberitahu jawatankuasa parlimen Taiwan hari ini pihaknya menerima maklumat ancaman itu tiga hari selepas insiden serangan berdarah di stesen keretapi Kunming yang membunuh 29 orang dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa China.

Namun beliau tidak menjelaskan bagaimana agensi tersebut menerima maklumat mengenai ancaman tersebut.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang media hari ini juga menepis dakwaan sebuah kumpulan yang mendakwa diri sebagai Briged Syahid China yang mengaku bertanggungjawab atas kehilangan MH370.

"Saya sudah lihat surat terbuka itu. Saya tidak fikir ada bukti kesahihannya," kata beliau yang juga Menteri Pertahanan.

Surat itu antara lain mengkritik dasar kerajaan China terhadap etnik Uyghur. Ia bagaimanapun tidak menjelaskan apa kaitan kumpulan itu dengan pesawat MH370 yang hilang.

Amaran yang diterima oleh pihak berkuasa keselamatan di Taiwan itu datang tiga hari selepas insiden serangan berdarah di stesen keretapi Kunming yang membunuh 29 orang dan mencederakan 140 yang lain. Serangan itu dilakukan oleh lapan lelaki dan wanita bersenjatakan pisau.

Tidak ada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. Agensi berita Xinhua bagaimanapun melaporkan ia dilakukan oleh kumpulan pemisah Uyghur. - Astro

No comments:

Post a Comment