07 March 2014

Suami isteri dihukum gantung


SHAH ALAM 6 Mac - Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia yang tidak diberi makan secukupnya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Noor Azian Shaari memutuskan demikian terhadap Fong Kong Meng, 58, dan isterinya, Teoh Chin Yen, 56, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
FONG Kong Meng, 58, (depan), bersama isterinya Teoh Ching Yen, 56, (belakang) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

Dalam penghakimannya, beliau berkata, keterangan pembelaan kedua-dua tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata.
"Semasa bekerja dengan tertuduh-tertuduh, mangsa mempunyai berat badan 46 kilogram tetapi hanya tinggal 26 kilogram semasa meninggal dunia malah sebab kematian dan fizikal mangsa tidak dapat disangkal oleh pihak pembelaan," ujar Hakim Noor Azian.

Kong Meng, bekas jururunding pendawaian dan isterinya yang merupakan suri rumah didapati bersalah bersama-sama membunuh Isti Komariah, 26, di rumah No. 90 Jalan SS2/6 Sea Park, Petaling Jaya, dekat sini antara 14 Mei 2010 dan 5 Jun 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Hakim Noor Azian berkata, pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan berhujah, kematian mangsa disebabkan tindakan kedua-dua tertuduh tidak membekalkan makanan mencukupi dan memberi rawatan perubatan kepada mangsa.

Seramai 16 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Julai 2012.
Kedua-dua tertuduh yang mempunyai anak kembar berumur 17 tahun dilihat tenang semasa keputusan dibacakan.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail, Muhammad Asyraf Md. Kamal dan Suzana Abdul Latif manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam, Zaleha Al-Hayat dan Thong Seng Kong.

Zaleha ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan secepat mungkin terhadap keputusan tersebut.

Menurut laporan akhbar, pembantu rumah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia itu dibawa oleh majikannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pukul 7.50 pagi, 6 Jun 2011 namun disahkan telah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital tersebut.

Mangsa mula bekerja dengan pasangan tersebut sejak Disember 2008.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam baharu dan lama serta calar pada bahagian belakang, dahi serta lengan mangsa. - Utusan

No comments:

Post a Comment