07 March 2014

Kes telur busuk: Polis ambil keterangan lelaki


BUTTERWORTH - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian telur busuk pecah di tangan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok ketika bersalam dengan seorang pengunjung semasa ceramah anjuran pakatan pembangkang di Taman Cermai di sini malam semalam.
  
Lelaki berusia 25 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas polis mengambil keterangannya.
  
"Siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan dan kami minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi... biar polis siasat," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi.
  
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Teresa dihampiri seorang lelaki dan telur busuk yang berada dalam genggaman lelaki berkenaan pecah ketika mereka bersalam.
  
Susulan itu, keadaan bertukar kecoh dan Kok segera dibawa keluar dari tempat ceramah dengan kawalan ketat Unit Amal Pas, manakala lelaki terbabit ditahan penyokong pakatan pembangkang sebelum diserah kepada polis. - SH

No comments:

Post a Comment