05 March 2014

Protes sistem PBS: Guru rayu Najib batal perintah tukar sekolah


Selepas ditolak oleh pihak berkuasa pendidikan Pahang, guru di belakang protes terhadap sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merayu kepada Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan Kementerian Pendidikan  menarik balik notis pemindahan yang dikeluarkan kepadanya dan dua lagi yang lain.

Mohd Nor Izzat Johari, ketua kumpulan kerja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) mendakwa notis pertukaran yang diterimanya adalah ‘hukuman’ yang dikenakan kepadanya kerana mengkritik PBS dan bukan atas keperluan, seperti didakwa oleh jabatan pendidikan negeri.

“Mereka kata pertukaran dan perpindahan itu berdasarkan kepada keperluan tetapi kami sudah periksa, ia tidak benar. Ia hanya alasan standard yang diberikan kepada mana-mana guru apabila mereka dipindahkan untuk mengelak masalah pada masa depan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata arahan pertukaran Nor Izzat tidak datang daripadanya dan mungkin membabitkan pentadbiran peringkat daerah.
Muhyiddin berkata, beliau tidak tahu jika keputusan itu dibuat kerana guru terbabit meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sistem berkenaan atau faktor lain.

Dalam surat rayuannya kepada perdana menteri bertarikh semalam, Nor Izzat berkata, perpndahan itu dilakukan kerana beliau secara umum membantah PBS.
“Saya tidak ragu-ragu mengenai perkara itu,” katanya.
Beliau berkata, mereka cuba berjumpa dengan pengarah Jabatan Pendidikan Pahang untuk membincangkan perpindahan itu tetapi gagal.

“Mereka asyik buat alasan bila kami hubungi mereka. Kami juga cuba mendapatkan surat sokongan daripada Pejabat Daerah mengenai perpindahan itu tetapi kami diberitahu mereka tidak mahu ‘masuk campur’ dalam perkara itu. Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, beliau ada bertemu Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada 24 Disember tahun lalu dan menteri berkenaan meyakinkannya bahawa tiada tindakan diambil terhadapnya atau rakan lain kerana secara terbuka mengkritik kelemahan PBS.

Nor Izzat Johari rayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan notis pertukaran sekolah yang dikenakan terhadapnya. Gambar fail.Nor Izzat Johari rayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan notis pertukaran sekolah yang dikenakan terhadapnya. Gambar fail.“Saya disiasat dan disoal oleh wakil peringkat daerah, negeri dan persekutuan, dalam lebih lima sesi. Orang terakhir yang perlu saya jumpa sepatutnya ialah pengarah pendidikan negeri untuk memastikan saya ada kes. Hanya selepas itu mereka boleh buat keputusan mengenai tindakan selanjutnya terhadap saya,” katanya.

Nor Izzat berkata, beliau dan dua lagi guru yang terkesan dengan keadaan itu juga menghantar surat rayuan kepada jabatan dan kementerian.

“Kami sudah merayu dan berharap mereka akan mempertimbangkannya. Saya akan menggunakan semua saluran untuk kes saya didengar,” katanya.
Katanya, beliau akan terus mengajar di sekolah sama buat masa ini.
Nor Izzat merayu kepada Najib untuk mengambil tindakan terhadap kemerosotan standard pendidikan dalam negara apabila murid digunakan sebagai bahan uji kaji dalam sistem yang tidak konsistem kerana polisi yang kerap berubah.

Pertukaran tiga guru berkenaan dilihat sebagai Putrajaya menekan kakitangan awam yang mempunyai pendapat berbeza.
Susulan daripada protes SGMM bulan lalu, kementerian mengumumkan PBS ditangguhkan hingga ia disemak dan penambahbaikan dibuat terhadap sistem itu.

Idris berkata, kementerian bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaannya untuk membolehkan ia diperbaiki.
Menurut laporan awal, guru dan pentadbir sekolah yang mendapati agak sukar menjejak pencapaian pelajar menerusi pelaksanaan PBS kembali menggunakan kaedah peperiksaan.

SGMM berkata, keadaan itu menyebabkan kebanyakan sekolah mempunyai dua sistem iaitu pada luaran ialah PBS yang digunakan untuk memuaskan hati pegawai di Putrajaya, tetapi sebenarnya sekolah menggunakan sistem peperiksaan tahunan seperti sebelum ini.

Menggunakan dua sistem, kata SGMM, menyebabkan tekanan dan bebanan kepada guru dan pegawai sekolah. – 5 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment