08 March 2014

MAS: Semua sumber digunakan kesan pesawat hilang


KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) sedang berusaha sedaya upaya untuk mengesan pesawatnya yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing berdasarkan kedudukan terakhir yang dimaklumkan sebelum ia terputus hubungan radar.

Eksekutif Perhubungan Media dan Komunikasi Strategik MAS, Malini Saudranrajan berkata kedudukan terakhir pesawat yang diketahui ialah 065515 Utara (longitud) dan 1033443 Timur (latitud).
"Malaysia Airlines masih tidak dapat dapat menghubungi atau menentukan kedudukan pesawat penerbangan MH370," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata MAS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memberi jaminan semua sumber telah digunakan untuk membantu dalam gerakan mencari dan menyelamat.
"Tumpuan kita sekarang ialah bekerjasama dengan pihak berkuasa kecemasan dan mengerahkan sokongan penuh kami," kata beliau.

Malini berkata senarai penumpang tidak akan dikeluarkan sehingga semua keluarga penumpang telah dimaklumkan.
Pesawat itu membawa 239 penumpang, terdiri daripada 227 penumpang dua daripadanya bayi, dan 12 anak kapal.

Kenyataan itu juga memberi maklumat terkini berhubung kewarganegaraan penumpang pesawat berkenaan dengan menyatakan lima daripada penumpang adalah dari India bagi memperjelaskan kenyataan MAS sebelumnya.  

Kekeliruan ini timbul berikutan kod negara yang digunakan Indonesia dan India.
Maklumat terkini berhubung kewarganegaraan penumpang meliputi 14 warganegara yang berbeza dan semua anak kapal adalah rakyat Malaysia.   

Jumlah: 239
Penumpang: 227

Anak kapal: 12

1) China/Taiwan : 153 termasuk seorang bayi/1
2) Malaysia : 38
3) India : Lima
4) Indonesia : Tujuh
5) Australia : Enam
6) Perancis : Empat
7) Amerika Syarikat: Tiga termasuk seorang bayi
8) New Zealand : Dua
9) Ukraine : Dua
10) Kanada : Dua
11) Rusia : Seorang
12) Itali : Seorang
13) Belanda : Seorang
14) Austria : Seorang
  
Dalam pada itu, difahamkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah sampai ke lokasi terakhir MH370 yang dilaporkan terputus hubungan iaitu 120 batu nautika ke timur Kota Bharu.

Pengarah C3i (Command, Control, Communication and Information) Maritim, Kapten Maritim Hamid Mohd Amin memberitahu Astro AWANI bahawa kawasan seluas 40 batu nautika telah diperiksa tetapi tiada apa-apa yang signifikan dijumpai lagi.

"Tadi, pesawat kami menjumpai satu objek tetapi setelah disiasat ia hanya satu kanvas berwarna oren yang tidak berkaitan," kata Hamid.

Antara aset Maritim yang telah sampai di lokasi adalah kapal KM Amanah, KM Langkawi, serta KD Pahang daripada Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Sebuah pesawat Bombardier serta helikopter EC275 tentera turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan.

Pesawat Boeing 777-200 MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang pada 2.40 pagi, kira-kira dua jam selepas berlepas.

Dalam rancangan kedua operasi itu, pasukan-pasukan penyelamat akan menggerakkan KD Terengganu dan beberapa kapal kecil serta pesawat Augusta. - SH

No comments:

Post a Comment