08 March 2014

Keluarga di Beijing berang 'tiada maklumat terkini'


Suasana kekecewaan semakin meningkat di kalangan ahli keluarga penumpang pesawat MAS MH370 yang berkumpul di Beijing kerana mengadu mereka tidak mendapat maklumat perkembangan terkini.

AFP melapor kan keluarga penumpang rakyat China dalam pesawat yang hilang itu, berkumpul di sebuah hotel di Beijing dan ada yang berang kerana tidak dikemaskini maklumat mengenainya.

"Mereka sepatutnya memberitahu kita sesuatu sebelum ini," kata seorang lelaki dari bandar di utama China, Tianjin yang dipetik oleh agensi perkhidmatan berita.

"Kami tidak diberitahu apa-apa tentang perkara ini. Saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengeluarkan apa-apa maklumat," kata seorang lelaki yang lain yang berusia 20-an , yang dilihat memujuk ibunya, AFP melaporkan.

Majoriti 239 penumpang penerbangan ini - 153 daripada mereka - adalah warga China dan Taiwan, manakala jumlah kedua terbesar adalah rakyat Malaysia seramai 38 orang.

MAS: Pasukan kami berlepas ke Beijing

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan petang ini berkata satu pasukan bertolak ke Bejing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang untuk memberi bantuan kepada ahli keluarga penumpang terbabit.

"Kami telah menggerakkan 'Go Team' kami ke Beijing, yang berlepas jam 4.30 petang dengan pasukan penjaga dan sukarelawan untuk membantu ahli keluarga penumpang," katanya.

Manakala keluarga penumpang penerbangan MH370 yang berkumpul di KLIA telah diminta untuk bersiap sedia dengan pasport masing-masing.

Malaysia Airlines mengadakan satu sidang akhbar setiap dua jam di sebuah hotel berhampiran KLIA.

Pesawat Boeing 777-200 itu berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.40 pagi ini, menuju ke Beijing.

Media tempatan di Vietnam melaporkan pesawat itu terhempas di luar pantai tetapi pihak berkuasa Malaysia masih cuba untuk mengesahkan maklumat tersebut.

Malaysia Airlines berkata sehingga jam 4.20 hari ini, lokasi tepat pesawat itu masih tidak diketahui.

Pihak berkuasa di Malaysia, China, Vietnam, Singapura, Filipina dan Indonesia turut bersama membantu usaha mencari dan menyelamat. - Mkini

No comments:

Post a Comment