01 March 2014

Kelebihan saya berbanding Azmin adalah ‘track record’, kata Khalid


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengatakan beliau mempunyai kelebihan berbanding Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk merebut jawatan tersebut kerana mempunyai "track record" atau rekod kerja yang lebih menyakinkan.

Beliau berkata, keputusannya untuk bertanding jawatan tersebut ialah demi membawa agenda pembaharuan dalam parti dan bukan untuk kepentingan peribadi.

"Kekuatan saya sudah tentu pada 'track record' saya yang sangat jujur dan berdedikasi. Paling penting tujuan bertanding adalah untuk membawa pembaharuan," katanya pada sidang media selepas program seni silat di Shah Alam, Selangor hari ini.

Semalam Khalid dalam satu majlis di hadapan kira-kira lebih kurang 200 penyokongnya mengesahkan beliau akan bertanding merebut jawatan nombor dua PKR.
Azmin dalam reaksinya memberitahu The Malaysian Insider beliau mengalu-alukan Khalid bertanding untuk jawatan tersebut.

Kedua-dua pempimpin PKR yang dilihat sering tidak bersehaluan itu bagaimanapun bersetuju memberi keutamaan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi memastikan kemenangan calon parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi saya, tumpuan hari ini ialah untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di Kajang. Itu fokus saya bagi memastikan PR yang diwakili Datuk Seri Anwar bukan sekadar menang biasa tetapi kita akan berusaha memastikan beliau menang dengan cukup menyakinkan," kata Azmin.
Khalid berkata keputusannya bertanding adalah untuk mematikan spekulasi berkaitannya, dan supaya tumpuan diberi kepada kempen PRK Kajang.

"Selepas saya mengumumkan, biarlah ia terhenti begitu sahaja dan tidak perlu tanya berapa banyak sokongan cabang terhadap saya kerana biarlah mereka menumpukan usaha dan masa dalam kempen Kajang, bukannya pemilihan," katanya.

Ditanya peluangnya untuk memenangi pertandingan untuk jawatan timbalan presiden PKR, Khalid menjawab:

"Kalau seorang pendekar tidak yakin dapat menang dia tidak akan sesekali masuk gelenggang. Itulah seninya," katanya tersenyum sambil mendakwa menerima sokongan penuh daripada Anwar berkenaan keputusannya untuk bertanding. – 1 Mac, 2014. - TMI

No comments:

Post a Comment