13 March 2014

Data enjin MH370 cetus persoalan baru


Satu laporan Wall Street Journal menyebut penyiasat Amerika Syarikat mengesyaki bahawa pesawat MH370 kekal dalam penerbangan selama kira-kira lima jam dalam keadaan yang belum dikenalpasti.

Laporan berkenaan, memetik seorang pegawai penyiasat penerbangan dan seorang pegawai keselamatan negara itu menyebut, pesawat itu mungkin terbang selama empat jam selepas melewati lokasi terakhir yang disahkan.

Laporan itu berdasarkan data yang dihantar secara automatik dan dimuat turun dari program penyelenggaraan dan pemantauan enjin di pesawat Boeing 777 itu, lapor Wall Street Journal.

Data berkenaan membangkitkan persoalan baru mengenai nasib yang menimpa pesawat membawa 239 orang dalam dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

Laporan itu seterusnya menyebut pegawai anti-keganasan negara tersebut kini melihat kepada kemungkinan bahawa pesawat berkenaan mungkin dilencong ke satu lokasi lain selepas alat pengesan dalam pesawat itu dimatikan untuk mengelak dari dikesan radar.

Laporan itu muncul ketika pihak berkuasa masih tidak pasti di lautan mana hendak mencari pesawat tersebut yang hilang pada hari Sabtu selepas berlepas dari Kuala Lumpur.

Kali terakhir pesawat itu dikesan pada skrin radar awam ialah sejurus sebelum jam 1.30 pagi Sabtu, kurang satu jam selepas ia berlepas dari Kuala Lumpur, ketika ia terbang menuju ke arah timur laut melintas muara Teluk Thailand ke Beijing.

WSJ berkata ia tidak jelas sama ada penyiasat mempunyai bukti yang menunjukkan kemungkinan berlaku keganasan atau pengintipan.

"Setakat ini, pegawai keselamatan negara AS berkata tiada sesuatu yang khusus yang menunjuk ke arah keganasan, walaupun mereka tidak menolak kemungkinan itu.

"Tetapi ketidakpastian yang besar tentang di mana pesawat itu menuju, dan mengapa ia nampaknya terus terbang begitu jauh tanpa transponder beroperasi, telah menimbulkan teori di kalangan penyiasat bahawa pesawat itu mungkin telah dikuasai atas sebab-sebab yang tidak jelas kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

"Ada antara teori itu telah dikemukakan kepada pegawai keselamatan negara dan kakitangan kanan daripada pelbagai agensi Amerika Syarikat, demikian menurut seorang biasa dengan perkara itu," kata laporan itu lagi.

Dalam satu taklimat, WSJ berkata, pegawai telah diberitahu bahawa para penyiasat secara aktif memantau tanggapan bahawa pesawat itu telah ditukar arah "dengan niat untuk menggunakannya kemudian untuk tujuan lain".

Dengan penerbangan selama lima jam, termasuk sejam di udara sebelum terputus hubungan, memungkinkan pesawat itu sampai sejauh Lautan Hindi, sempadan Pakistan atau Laut Arab.

Menurut WSJ, sistem pemantauan enjin pesawat itu disediakan oleh pengeluarnya, Rolls -Royce PLC, dan secara berkala menghantar data tentang keadaan enjin itu, operasi dan pergerakan pesawat itu.

"Sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelenggaraannya, Malaysia Airlines menghantar data enjin langsung kepada Rolls -Royce untuk analisis.

"Sistem ini menyusun data dari dalam dua enjin Trent 800 pesawat 777 dan menghantar gambar prestasinya, dan juga ketinggian dan kelajuannya.

"Ia dikumpul dan dihantar dalam setiap 30 minit, kata seorang yang biasa dengan sistem tersebut."

Bagaimanapun, satu lagi laporan Reuters, seorang pegawai kanan Malaysia Airlines memberitahu bahawa data seperti itu tidak wujud.

Seorang lagi pegawai Malaysia Airlines berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu, lapor agensi tersebut. - Mkini

No comments:

Post a Comment