05 February 2014

Polis cawangan khas ditemui mati dengan dua tembakan di muka


Seorang anggota polis ‎Unit Polis Cawangan Khas Persekutuan ditemui mati, selepas dipercayai ditembak dua kali di muka, di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.

Polis menemui mayat mangsa berpangkat koperal berusia 37 tahun itu selepas menerima panggilan pada jam 4.30 petang.

Mangsa ditembak dua kali di bahagian muka, satu tembakan menembusi pipi kanannya manakala sebutir lagi peluru menembusi mata kanannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis ACP Khairi Ahrasa berkata, mangsa yang identitinya dirahsiaka ditemui dengan berpakaian biasa.



Beliau berkata, mayat berkenaan ditemui oleh unit peronda polis di tepi Jalan Negeri Sembilan di Bukit Persekutuan.

"Kami percaya beliau ditembak mati dalam tempoh sejam sebelum ia ditemui berdasarkan pemeriksaan awal pada mayat di tempat kejadian," kata Khairi.
Beliau berkata mayat berkenaan ditemui bersama-sama kelongsong peluru 9mm dan motosikal Modenas Kriss, yang dikatakan dimiliki anggota polis yang lain.

Sumber dalaman yang menjalankan siasatan berkata, dompet dan barang-barang peribadi mangsa tidak diambil, sekali gus menolak kejadian bermotifkan rompakan.
Polis juga menyiasat kemungkinan pembunuh dikenali mangsa, berdasarkan petunjuk yang ditemui di tempat kejadian.

Ketika dihubungi, Pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Akhil Bulat enggan memberikan maklumat lanjut dan berkata kes itu sedang disiasat oleh pihak polis Kuala Lumpur.
Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. – 4  Februari, 2014.

1 comment:

  1. http://stayreward.com/index.php?share=102876..cuba join link ni..

    ReplyDelete