04 February 2014

Pengurus dijel 12 tahun, dua sebatan

RIDUAN Masmud sebak ketika dipeluk oleh anaknya sambil diperhatikan isterinya (kiri) selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - BERNAMA


KOTA KINABALU 3 Feb. - Hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap seorang pengurus restoran yang merogol kanak-kanak berusia 12 tahun enam bulan pada Februari tahun lalu adalah sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang ramai agar tidak menggunakan alasan perkahwinan bagi melepaskan diri daripada kesalahan rogol.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ummu Khatom Abd. Samad dalam penghakimannya juga mengingatkan bahawa tertuduh, Riduan Masmud, 41, yang merupakan individu dewasa sepatutnya boleh berfikiran waras dan matang sebelum melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap mangsa yang masih kecil dan mentah.

Mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman itu terhadap Riduan setelah didapati bersalah merogol mangsa dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan di Inanam pada pukul 10 pagi, 18 Februari tahun lalu.

Tertuduh yang mencetuskan kontroversi semasa prosiding pada 20 Mei tahun lalu dengan memaklumkan kepada mahkamah bahawa telah mengahwini mangsa dan turut mengemukakan salinan sijil perkahwinan, didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pada minggu lalu, Riduan yang mempunyai seorang lagi isteri dan empat anak berusia antara dua hingga 17 tahun sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila gagal hadir ke mahkamah untuk keputusan terhadap kes yang dihadapinya sehingga mahkamah terpaksa mengeluarkan waran tangkap.

Dalam keputusan hari ini, Hakim Ummu Khatom turut memerintahkan Riduan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukumannya itu nanti.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang telah mengemukakan seramai 19 saksi sepanjang prosiding perbicaraan kes itu berjalan.

Raja Zaizul dalam hujahannya memaklumkan bahawa meskipun kes itu merupakan kesalahan pertama tertuduh namun kesalahan merogol merupakan satu jenayah yang amat serius, selain kes itu juga mempunyai kepentingan umum.

Walau bagaimanapun, tertuduh melalui peguam Ram Singh yang mewakilinya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.
Permohonan itu dibenarkan oleh Ummu Khatom dengan syarat jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM10,000 ditambah kepada RM15,000 berserta dua penjamin dengan salah seorang merupakan isteri pertamanya.

Dalam pada itu, ahli keluarga tertuduh yang pada mulanya dilihat tenang di dalam galeri mahkamah tiba-tiba menangis dan meraung sambil memeluk Riduan yang turut menangis sebaik sahaja dia keluar dari mahkamah itu.

Riduan yang memakai baju hitam dan jaket berwarna hijau serta berseluar jean biru gelap dilihat mencium dan memeluk isteri dan anaknya beberapa kali sebelum digari polis.
Selain pertuduhan merogol, Riduan turut menghadapi tiga lagi tuduhan lain iaitu merasuah keluarga mangsa sebanyak RM10,000 sebagai ganjaran bagi menarik balik laporan polis berkaitan salah laku rogolnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment