21 February 2014

Jimat guna air untuk elak catuan, kata kementerian


Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menggesa rakyat cermat menggunakan air demi memanjangkan tempoh penggunaan air simpanan daripada empangan air dalam masa kritikal seperti sekarang.

Dalam kenyataan media hari ini, KeTTHA menasihatkan pengguna air, terutama di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor menjimatkan air supaya catuan dapat dielakkan.
"Kementerian ini juga berharap agar semua pihak sama-sama menjaga sungai yang membekalkan air mentah di loji rawatan air supaya tidak berlaku pencemaran air sungai yang akan menjejaskan lagi pengeluaran air terawat kepada para pengguna khusunya pada musim panas dan kering ini," katanya.

Menurut KeTTHA, aliran Sungai Langat, Selangor berkurangan berikutan cuaca panas dan menyebabkan kandungan ammonia pada air mentah di sungai itu meningkat melebihi paras yang dibenarkan untuk rawatan.
"Paras empangan di Selangor masih menurun khususnya Empangan Sungai Selangor dan Klang Gates," katanya dan menambah kerajaan Selangor memantau rapi keadaan di empangan tersebut.

Di Johor pula, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaporkan bahawa Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) membuat catuan air di Kluang berikutan paras air Sungai Sembrong Kiri yang semakin menurun serta menjejaskan pengeluaran air.

"Catuan air melalui kaedah pembekalan air berjadual melibatkan sebanyak 51,036 akaun pengguna di daerah Kluang di mana penduduk akan mendapatkan bekalan air selama 2 hari dan dicatu selama 1 hari berikutnya," katanya.

Bagaimanapun, SPAN memaklumkan bekalan air di negeri lain dalam keadaan terkawal dan akan terus memantau kedudukan bekalan serta memaklumkannya dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan bekalan air berkurangan di 27,000 rumah di Hulu Langat dan Kuala Langat.

Pakar industri air di forum yang membincangkan isu tersebut kelmarin berpendapat, kekurangan bekalan air di Malaysia disebabkan pertukaran iklim serta rakyat Malaysia yang belum bersedia menghadapi masalah ini.
Menurut Pengarah Pembangunan Teknikal Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), V Subramaniam, walaupun hujan melimpah di Malaysia, ia tidak serata.

"Hujan tidak selalunya turun di sungai atau tempat pembekal air mentah yang membekalkan air minuman," katanya. – 20 Februari, 2014. - TMI

1 comment:

  1. Harap mereka yang terlibat dalam kejadian catuan air 2014 ini dapat bersabar, dan moga pihak yang berkenaan dapat ambil tindakan yang segera untuk mengatasi masalah ini.

    ReplyDelete