17 February 2014

18 lelaki ditahan berlatih guna senjata tiruan M16, AK47 dalam ladang kelapa sawit


Segamat: Polis menahan 18 lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an di sebuah ladang kelapa sawit di Jementah dekat sini, selepas dipercayai berlatih menembak menggunakan raifal tiruan, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu, polis turut merampas 14 senjata api tiruan termasuk menyerupai M-16 dan AK-47.

Difahamkan, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima maklumat daripada seorang pekebun yang kebetulan melalui kawasan berkenaan dan mencurigai kehadiran sekumpulan lelaki lengkap berpakaian ala tentera berlatih menembak menggunakan senjata itu.

Menurut sumber, bimbangkan keselamatan penduduk berhampiran, pekebun itu membuat laporan di Balai Polis Jementah sebelum sepasukan polis tiba bagi melakukan siasatan.

Ketika bertemu kumpulan terbabit, katanya, polis dimaklumkan bahawa mereka anggota sebuah Kelab Sukan di Johor Bahru dan melakukan aktiviti menembak menggunakan senjata tiruan.


Berikutan itu, polis merampas 14 senjata tiruan yang menggunakan bateri dan 18 pakaian ala tentera untuk siasatan lanjut, katanya.

Menurut sumber itu lagi, daripada 18 lelaki yang ditangkap itu, empat orang telah dibebaskan manakala 14 lagi ditahan reman sampai esok untuk siasatan lanjut. - Hmetro

No comments:

Post a Comment