07 January 2014

‘Kami sedar kerja ayah berisiko’


KUANTAN - "Saya dan keluarga sedar dan tahu kerja ayah sememangnya berisiko tetapi tidak menyangka kejadian seperti ini menimpa keluarga kami".
      
Demikian kata anak kedua Koperal Abdul Halim Mat Ali yang ditemui mati ditembak di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pandan Jaya, Jaya Gading di sini hari ini.
      
Shahrul Nuie Abd Halim, 20, berkata dirinya seakan tidak percaya apabila dimaklumkan ibunya, Asmah Laily Yusof, 40, mengenai kejadian yang menimpa ayahnya pada kira-kira 10 pagi tadi.
      
"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi," katanya yang merupakan seorang juruukur di Rawang, Selangor ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
      
Petang semalam Abdul Halim, 48, mengejar dua lelaki bersenjatakan dua laras senapang patah dan gagal dihubungi anggota polis lain selepas kejadian itu sebelum mayatnya ditemui kira-kira 9 pagi ini di ladang berkenaan.
      
Menurut Shahrul, jenazah ayahnya akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Felda Bukit Mendi, Bera.
      
Allahyarham mempunyai seorang lagi anak lelaki dan dua anak perenmpuan. - Bernama

No comments:

Post a Comment