03 January 2014

351 Bible dirampas, 2 lelaki diberkas

Petaling Jaya 2 Jan. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing di sini kira-kira pukul 2 petang ini.
Dalam serbuan tersebut, pasukan penguat kuasa JAIS yang diiringi anggota polis turut menahan dua individu iaitu Presiden Persatuan Bible Malaysia, Lee Min Choon dan pengurus premis itu, Sinclair Wong.
Menurut sumber, kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 9, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 kerana menerbitkan dengan menulis kalimah Allah untuk kegunaan orang bukan Islam.

"Satu laporan polis telah dibuat dan mereka dibawa ke Balai Polis Damansara untuk memberikan keterangan berhubung serbuan itu dan kesemua naskah yang dirampas," kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, Min Choon dan Wong bagaimanapun telah dibebaskan atas jaminan polis kira-kira pukul 4 petang dan diarahkan hadir ke pejabat JAIS pada 10 Januari depan untuk siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Ahmad Zaharin Mohd. Saad ketika dihubungi mengesahkan serbuan dan penahanan itu.

Beliau memohon kepada semua pihak memberi peluang dan ruang kepada bahagian penguatkuasaan JAIS dan polis untuk melakukan siasatan serta tidak mempolitikkkan isu itu.
Sementara itu, Min Choon ketika ditemui di perkarangan balai polis mendakwa, beliau terkejut dengan serbuan itu kerana mendakwa pihaknya telah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk mengimport Bible versi bahasa Melayu.

"Sejak beberapa tahun lalu kami sentiasa berhubung dengan Putrajaya dan mendapat kebenaran untuk mengimport dan mengedarnya di Sabah dan Sarawak.
"Sementara itu di Semenanjung Malaysia, asalkan Bible itu mempunyai lambang salib dan tertera perkataan 'penerbitan untuk Kristian' di kulitnya, maka kami boleh mengimport dan mengedarnya dalam kalangan penganut agama itu," dakwanya.

Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memberi kemenangan kepada orang Islam apabila membuat keputusan tidak membenarkan majalah mingguan, The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Keputusan itu merupakan isyarat jelas kepada semua pihak bahawa kalimah Allah adalah milik agama Islam kerana penggunaannya dalam agama lain dilihat boleh mengeruhkan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. - Utusan

No comments:

Post a Comment