SHAH ALAM - Peribahasa ibarat sudah jatuh ditimpa tangga
sesuai untuk situasi rakyat yang semakin terhimpit dengan kesan kenaikan
yang bakal dialami pada 2014, kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman kerajaan yang bakal
menaikkan kadar tol di 13 lebuh raya terlibat susulan perjanjian konsesi
yang menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.
“Apabila mendengar kenaikan tol ini, saya tidak terkata lagi. Baharu
sahaja rakyat dikhabarkan kenaikan tarif elektrik, gula, minyak, ini tol
pula.
“Kita rakyat susah mahu faham dengan tindakan kerajaan kerana setiap
kali yang diumumkan syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda,
kerajaan juga mendapat pulangan baik, tapi rakyat yang susah akhirnya
dengan kadar tol dinaikkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata beliau, jika kerajaan mahu menaikkan harga tol, namun tahap
prestasi jalan dan ciri-ciri keselamatan masih ditahap yang sama,
pastinya amat tidak bermakna bagi rakyat.
“Kalau sepanjang jalan di lebuh raya dengan kelajuan 110km, contohnya
hanya sejam sahaja boleh sampai ke Melaka dari Kuala Lumpur, mungkin
rakyat tidak akan berkira.
“Tapi kalau bayar tol, jalan tetap sesak dan ciri keselamatan tidak diendahkan apa guna bayar tol yang mahal-mahal,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya jika sekalipun kenaikan kadar tol tidak dapat
dielakkan, kerajaan sepatutnya bertindak menyemak sekali lagi perjanjian
antara syarikat konsesi supaya tidak berlaku perjanjian berat sebelah.
“Ini penting, kerajaan perlu semak kembali perjanjian itu supaya tidak
berlaku tindakan kurang cerdik daripada pihak mereka semasa
menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi.
“Kita tidak mahu berlaku berat sebelah, mungkin masa tandatangan itu,
diambil kira jumlah kereta yang lalu hanya berapa dan sekarang pula
sudah berapa jumlah kereta yang melalui lebuh raya itu,” kata beliau.
Sehubungan itu, kerajaan disaran lebih bijak menguruskan ekonomi dengan
mengutamakan rakyat supaya tidak terkesan berikutan penarikan subsidi
dan kenaikan harga barangan.
“Rasanya di setiap lebuh raya ada papan iklan yang pastinya mendapat
keuntungan berlipat kali ganda. Ini belum lagi termasuk dengan gerai di
kawasan rehat yang menawarkan pelbagai barangan makanan dan sebagainya
kepada pengguna, pastinya mendapat keuntungan,” katanya. - SH
Kerajaan Umno yang sangat berjiwa rakyat ini akan mengatakan seperti biasanya, golongan miskin tidak terbabit langsung dengan kenaikan tol kerana mereka tidak menaiki kereta tetapi mereka hanya berjalan kaki, menunggang basikal atau motosikal. Eh, bukankah kamu penyokong Umno?
No comments:
Post a Comment