Wanita misteri warga Malaysia berumur 69 tahun yang dijadikan hamba
selama 30 tahun di London berkemungkinan bernama Siti Aishah Abdul
Wahab, kata bekas aktivis mahasiswa, Hishamuddin Rais.
Wanita itu merupakan salah seorang daripada tiga wanita yang dibebaskan
pada 25 Oktober di London selepas salah seorang daripada mereka
menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua lagi wanita adalah warga Ireland
berumur 57 tahun dan warga Britian berumur 30 tahun.
Polis Britian masih belum mendedahkan identiti ketiga-tiga wanita
tersebut tetapi memaklumkan bahawa sepasang suami isteri ditahan
berkait dengan kes itu.
Hishamuddin yang hidup dalam buangan di London pada lewat 1970-an
berkata, Siti Aishah aktif dengan kumpulan mahasiswa Malaysia berhaluan
kiri yang menggelarkan diri mereka "New Malayan Youth" di ibu kota
Britian pada ketika itu.
"Abang dia ada cari saya pada 1991 minta tolong carikan Aishah yang
dikatakan hilang kerana kami berasal dari daerah sama," katanyaa kepada
The Malaysian Insider ketika ditemui awal pagi ini.
"Saya juga menetap di Brixton, London, di mana lokasi wanita itu
ditemui," kata bekas aktivis mahasiswa yang menggendalikan blog
“TukarTiub” itu.
Hishamuddin berkata, Siti Aishah merupakan pengikut kepada fahaman
Marxist-Leninist dan pemikiran bekas pemimpin besar China Mao Tse Tung.
Difahamkan, "New Malayan Youth" adalah pertubuhan mahasiswa yang
menggabungkan pelajar berhaluan kiri dari Malaysia dan Singapura pada
1970-an.
Hishamuddin yang pulang ke Malaysia pada 1994 selepas bertahun-tahun
hidup dalam buangan berkata, Siti Aishah merupakan bekas penuntut Kolej
Tunku Kursiah (TKC), Seremban dan kemudiannya melanjutkan pelajaran
dalam bidang Juruukur Bahan (QS) di London di bawah biasiswa "Colombo
Plan".
Bekas aktivis mahasiswa itu mendakwa, beliau berasal dari daerah yang
sama dengan Siti Aishah iaitu di Jelebu, Negeri Sembilan dan kakak
kepada wanita itu adalah gurunya di sekolah menengah.
Hishamuddin menetap di London
selama 15 tahun dan menuntut ilmu Asas Seni di Brixton College sebelum
melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Kajian Filem dan Video di
University of Westminster, London. Alamat terakhir beliau di London
adalah di Coldhabour Lane, Brixton.
Akhbar Britian melaporkan pasangan yang ditahan ialah Aravindan
Balakrishnan, juga dikenali sebagai “Comrade Bala” dan isterinya Chanda
dari Tanzania, tetapi Hishamuddin berkata, lelaki itu turut dikenali
sebagai “Chairman Ara” dan berasal dari Singapura.
Polis Britian mengesahkan pasangan itu pernah ditahan pada 1970-an tetapi tidak menyatakan sebabnya.
Polis juga enggan mengesahkan identiti pasangan itu yang dibebaskan
dengan ikat jamin sehingga tarikh perbicaraan pada Januari depan tetapi
mengatakan ketiga-tiga wanita itu tidak kelihatan seperti didera secara
seksual.
Polis tidak menolak dakwaan wanita itu dipukul.
Turut difahamkan, wanita Malaysia itu berada dalam keadaan yang 'sangat
trauma' dan ditempatkan di satu lokasi selamat tetapi alamat rumah
lokasi di mana jenayah tersebut berlaku tidak didedahkan.
Menurut kenyataan polis, kedua-dua suspek bukan warganegara Britain.
Ketiga-tiga mangsa bebas daripada “perhambaan” selepas salah seorang
daripada mereka menghubungi badan kebajikan Freedom Charity pada 18
Oktober.
Menurut laporan media Britain, Pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem bertemu dengan ketiga-tiga wanita berkenaan Khamis lalu.
Laporan media juga menyebut mangsa didera secara fizikal dan dikawal
emosi dalam kes perhambaan yang disifatkan sebagai "rumit dan menyayat
hati".
Polis dipetik sebagai berkata, mereka masih menyiasat apakah "gari
tidak nampak" yang digunakan untuk memanipulasi ketiga-tiga mangsa.
Polis menghabiskan masa 12 jam untuk mencari lokasi perhambaan
berkenaan dan mengumpul 55 beg bahan bukti dan 2,500 eksibit. -26
November, 2013.
No comments:
Post a Comment