Shah Alam: “Siapa suruh korang buka sampai malam,” itulah kata-kata
sekumpulan penyamun bersenjatakan parang apabila mereka dipercayai
tersalah sasaran dalam satu kejadian samun bersenjata di Taman TTDI
Jaya, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, enam lelaki bersenjatakan parang
menaiki tiga motosikal berhenti di depan sebuah bengkel membaiki kereta
sebelum dua daripada mereka mengacu parang ke leher pekerja bengkel
berkenaan sebelum melarikan wang tunai RM5,000.
Difahamkan, semua lelaki terbabit warga tempatan dan mereka juga
didapati menggunakan motosikal tanpa nombor pendaftaran selain tidak
menyalakan lampu belakang.
Mangsa yang juga pekerja bengkel
Ahmad Shukri Hamzah, 23, berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang
lagi rakan sedang membaiki kereta di belakang bengkel dan pada mulanya
dia hendak mengambil spanar di bahagian hadapan bengkel, sejurus
melangkah keluar lehernya terus diacukan parang.
“Saya hanya mampu berdoa dalam hati apabila melihat parang di leher,
siapa yang tak terkejut lain yang hendak dibuat lain yang jadi. Pada
mulanya seorang daripada lelaki berkenaan bertanyakan kepada saya siapa
yang ada di dalam bengkel sebelum bertanyakan identiti saya.
“Sebaik mengacu parang di leher, mereka terus meminta saya
mengeluarkan semua wang dan menyeluk poket seluar, sebelum menolak saya
masuk ke dalam pejabat dan mengacu parang ke arah bos saya yang ketika
itu sedang berbaring, takut dicederakan, bos saya terus menyerahkan
semua wang,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ahmad Shukri
berkata, ini kejadian pertama yang berlaku sejak beroperasi tujuh
tahun lalu dan selain wang tunai, lelaki itu turut mengambil beg
pinggang milik majikannya yang mengandungi dokumen peribadi, kad bank,
pemacu cakera serta telefon bimbit.
“Kami jarang beroperasi
sampai malam, kebiasaannya jam 6 atau 7 malam sudah tutup, tetapi pada
hari kejadian ada kereta perlu disiapkan dan tidak sangka perkara buruk
akan terjadi.
“Mungkin itu rezeki mereka, kerana petang semalam
(kelmarin) bos saya baru dapat bayaran daripada pelanggan dan kalau bos
cepat lima minit ke bank, mungkin tak banyak mereka dapat,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment