Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjangkakan kajian semula
semua skim perkhidmatan awam akan selesai sepenuhnya menjelang
pertengahan tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, sebelum
ini kerajaan telah melakukan kajian semula terhadap 81 skim tahun ini.
“Bagi memastikan perkhidmatan awam mempunyai modal insan
berkemahiran, seiring keperluan menzahirkan wawasan negara, kajian skim
sedia ada perlu dilaksanakan secara berterusan.
“Justeru, bagi skim perkhidmatan lain yang tidak terbabit
dengan kajian pada 2013, kita akan kaji secara berperingkat, malah 100
skim perkhidmatan sudah dikenal pasti untuk dikaji mulai Januari 2014.
Penawaran opsyen
“Seperti pelaksanaan kajian sebelum ini, ia turut dirunding
bersama pihak berkepentingan termasuk Ketua Perkhidmatan, Ketua Jabatan,
CUEPACS, Majlis-majlis Bersama Kebangsaan dan kesatuan pekerja,”
katanya selepas merasmikan Forum Sektor Awam 2013, di sini semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Ali berkata Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak, dalam ucapan Bajet 2014 mengumumkan penambahbaikan 81
skim perkhidmatan awam bagi menarik dan mengekalkan modal insan terbaik
sektor awam, selain menambah baik laluan kerjaya serta mudah alihan
penjawat awam.
Menurutnya, penambahbaikan membabitkan 613,743 penjawat awam dengan peruntukan tambahan RM31 juta setahun.
Berikutan itu, beliau berkata pihaknya sudah memberi taklimat
berasingan kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha
Kerajaan Negeri (SUK), Ketua Perkhidmatan, Ketua Jabatan, Pengurus
Sumber Manusia kementerian, agensi persekutuan dan negeri, CUEPACS serta
kesatuan penjawat awam mulai 22 Oktober lalu.
“Ketua Jabatan diminta segera melaksanakan urusan penawaran
opsyen pertukaran pelantikan kepada pegawai terbabit. Tempoh tawaran
opsyen adalah 30 hari dari tarikh surat dikeluarkan,”katanya.
“Bagi perkhidmatan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa
tempatan, ia tertakluk kepada 30 hari daripada tarikh pekeliling
perkhidmatan dikeluarkan,” katanya.- BHarian
No comments:
Post a Comment