KUALA LUMPUR 29 Okt. - Selangor menjadi negeri yang mencatatkan
jumlah kes serta tangkapan jenayah tertinggi berbanding negeri lain dari
Januari sehingga September tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
sebanyak 18,063 kes narkotik juga dilaporkan berlaku di negeri itu
dengan 18,602 daripadanya membabitkan tangkapan terutamanya kesalahan
pengedaran, pemilikan, penyalahgunaan dan penagihan dadah.
Bagi jenayah indeks pula, beliau memberitahu, Selangor mencatatkan
sejumlah 32,348 kes sepanjang tempoh berkenaan, paling tinggi berbanding
negeri-negeri lain.
Daripada jumlah jenayah indeks itu, sebanyak 6,523 kes merupakan
jenayah kekerasan membabitkan kes bunuh, rogol dan samun manakala 25,825
kes lagi merupakan jenayah harta benda iaitu kes curi, ragut dan pecah
rumah," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) berhubung statistik
setiap kes jenayah pecah rumah, ragut, rogol, pengedaran dan
penyalahgunaan dadah mengikut kawasan ibu pejabat polis daerah dari 2008
hingga 2013.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, dalam tempoh tersebut,
jumlah tangkapan bagi pelbagai kesalahan narkotik di seluruh negara
mencecah 129,608.
Katanya, bagi jumlah kes jenayah indeks di seluruh negara pula,
sebanyak 111,020 kes dicatatkan dalam Januari hingga September tahun
ini. - Utusan
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak boleh lepas tangan. Perlu lakukan sesuatu mengikut kemampuan yang ada. Jangan 100% salahkan pihak keselamatan.