30 October 2013

Bekas ketua pengarah Imigresen didapati bersalah kes rasuah, penjara 6 tahun

Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don hari ini didapati bersalah kerana terlibat dalam rasuah.

Wahid dijatuhkan hukuman penjara enam tahum bermula hari ini dan denda RM300,000 atau penjara 12 bulan. Hakim tidak membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman.

Hakim Rosbiahanin Arifin telah membebaskan tertuduh pada Oktober 2010 tanpa meminta beliau untuk membuat pembelaan. Ketika itu, hakim mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Walau bagaimanapun, Rosbiahanin hari ini menarik semula keputusan awal itu dan mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes mengatasi keraguan munasabah.



Wahid, 59, dituduh menerima RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai sebahagian bayaran untuk mempercepatkan pengesahan visa 4,337 warga Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di Jalan Lembah Ledang, Kuala Lumpur, pada 10 Julai 2008.
Ketua pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sesyen di Mahkamah Tinggi namun tidak berjaya. SPRM kemudian membuat rayuan  di Mahkamah Rayuan, yang diluluskan April tahun ini.

Tertuduh dalam pembelaannya mendakwa wang tersebut milik SPRM dan Low memberikan wang itu atas arahan SPRM. Wahid diwakili peguam Datuk V. Sithambatam. - MI