Rakyat Malaysia semakin aktif untuk mendapatkan maklumat dan berita
semasa, lapor Malaysian Digital Association (MDA) yang dikeluarkan hari
ini dengan laman The Malaysian Insider memasuki carta lima terbaik untuk
kategori laman berita.
Laman The Malaysian Insider yang baru berusia lima tahun mencatat 504
ribu pelawat unik pada bulan Ogos 2013 dengan laman The Star Online
menduduki tempat pertama.
Bagi kategori berita, laman portal The Star Online mendapat pelawat
unik sebanyak 1,074,000, diikuti Malaysiakini 885,000 dan tempat ketiga
Hmetro.com.my 606,000.
"The Star Online, Malaysiakini dan Hmetro mengekalkan kedudukan mereka
sebagai laman paling atas dalam kategori berita," kata MDA lagi.
Dalam laporan MDA hari ini, hampir setengah daripada 30 laman portal
teratas berada dalam kategori berita, kewangan dan hiburan.
"Kategori ini adalah penanda aras kepada populariti bagi rakyat Malaysia.
"Sehinggalah Ogos 2012, jumlah keseluruhan pelawat dalam kategori
berita juga meningkat secara purata setiap minit pelawat naik kepada
12% ke 34.8 minit," kata MDA dalam satu kenyataan media hari ini.
Secara keseluruhan merangkumi semua kategori tersebut menyaksikan
Maybank2u mengekalkan reputasinya sebagai laman portal tempatan paling
banyak dilawati berbanding yang lain sebanyak 2,041,000 pelawat,
disusuli Mudah.my dan TheStar.com.my.
"Laman pengguna Maybank berkembang dengan baik dalam tempoh 12 bulan
untuk menduduki tempat pertama bagi laman portal tempatan di Malaysia."
Laporan yang dihasilkan tersebut adalah berasaskan aplikasi untuk
menjejak pelawat, comScore Media Metrix dan laporan yang dikeluarkan
adalah berasaskan pengguna tempatan dan tidak mengambilkira pelawat
antarabangsa.
Bagi laporan di Malaysia, laporan comScore Media Metrix dibuat
berasaskan data daripada 150 ribu orang lebih yang memenuhi ukuran.
Dalam laporan setakat tahun lepas, Malaysia memiliki jumlah pengguna
internet sebanyak hampir 17 juta lebih, bersamaan 60% daripada
keseluruhan penduduk, serta antara negara tertinggi di rantau Asia.
Selain itu, internet juga memainkan peranan penting dalam dua
pilihanraya umum iaitu tahun 2008 dan 2013 baru-baru ini, yang membawa
perubahan drastik daripada segi corak masyarakat mendapatkan maklumat
dan berita semasa.
Selain itu, internet juga sering dikaitkan dengan pihak pembangkang,
Pakatan Rakyat (PR) yang dikatakan lebih ke depan berbanding kerajaan
pemerintah Barisan Nasional (BN) yang masih bergantung kepada media
tradisional. - 4 Oktober, 2013. - TMI