Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini
mempertahankan integriti pasukan polis dan mengatakan bahawa kehilangan
senjata polis bukan disebabkan oleh pecah amanah, penyelewangan atau
unsur rasuah.
Sebaliknya, kata beliau, kehilangan itu antaranya disebabkan kecuaian atau kelemahan ketika operasi dijalankan.
Beliau kemudian melarang perbincangan lanjut mengenai perkara itu dan berkata "tiada lagi" soalan dari Malaysiakini.
Ditanya
mengenai senjata RM1.3 juta senjata polis yang hilang seperti yang
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, Zahid berkata beliau positif
bahawa tiada motif tidak baik dikaitkan dengan kehilangan tersebut.
"Mengenai
laporan audit tentang kehilangan 1.3 juta senjata di PDRM, saya tahu
kehilangan itu bukan disebabkan oleh pecah amanah, bukan disebabkan
penyelewangan, bukan disebabkan unsur rasuah.
"Kehilangan antaranya disebabkan kecuaian atau kelemahan ketika operasi dijalankan," katanya kepada pemberita.
Zahid
berkata beliau telah membuat susulan terhadap laporan audit itu dengan
meminta ketua polis negara menyediakan prosedur operasi standard (SOP)
dan mengenakan surcaj ke atas anggota yang terlibat.
Beliau
berharap laporan audit tahun depan tidak akan mengandungi laporan
seperti kehilangan senjata kerana beliau tidak mahu "imej polis tercemar
oleh laporan Ketua Audit Negara".
Katanya, kini semakin ramai
yang mempercayai pihak polis, sambil menambah bahawa pasukan itu telah
memperlihatkan integriti yang tinggi.
Zahid memberi amaran kepada Malaysiakini supaya melaporkan dengan tepat apa yang dicakapkannya.
"Malaysiakini, you tulis itu macam ar, betul-betul ah, jangan tulis lain...," tegasnya.
Beliau juga meminta Malaysiakini supaya tidak lagi bertanya sebarang soalan susulan mengenai kehilangan senjata itu.
"You pun tulis tak betul. Tak mau layanlah Malaysiakini. You tulis semua tak baik tentang saya, tentang KDN, patut you tak payah datang sinilah, malulah datang," katanya lagi. - Malaysiakini
Lebih ramai percaya laporan Ketua Audit Negara.