Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam kecewa apabila hanya satu daripada
enam bahagian Umno di negeri Melaka mengundinya untuk jawatan Naib
Presiden.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, beliau hanya mendapat undi
daripada Umno Bukit Katil yang diketuainya sementara lima lagi bahagian
seperti Tangga Batu, Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin dan Kota Melaka
tidak berbuat demikian.
"Inilah dunia politik sebenarnya yang dapat saya rasakan. Apa salahnya
saya diberi peluang mengisi salah satu daripada tiga tempat bagi jawatan
Naib Presiden.
“Kalau hendak pilih satu sahaja mungkin keadaan sebaliknya, namun di
Melaka saya lebih terkilan kerana tidak mendapat sokongan langsung.
“Inilah hakikat yang harus saya akui. Apabila saya tidak memegang
sebarang jawatan di negeri atau Pusat tiada siapa hendak lihat saya,
tetapi dulu ketika 13 tahun jadi Ketua Menteri semua sokong saya,"
katanya dipetik daripada Utusan Malaysia.
Mohd Ali yang bertanding jawatan Naib Presiden bersama lima calon lain
tewas selepas hanya mendapat tujuh undi daripada bahagian.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, beliau tewas di kerusi Parlimen Bukit Katil kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar.
Mohd Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)
hanya mengekalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Katil selepas
menang tanpa bertanding.
Ketika mengulas lanjut mengenai kekalahan itu, Mohd Ali berkata,
sepanjang 13 tahun memegang jawatan Ketua Menteri, beliau tidak
menghadapi sebarang masalah apabila pernah menang jawatan Naib Presiden
pada 2004 dan ahli Majlis Tertinggi (MT).
Dalam pemilihan Naib Presiden pada Sabtu, semua penyandang berjaya mengekalkan jawatan masing-masing.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 185 undi, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal (174 undi) manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula
mendapat 100 undi.
Trio itu menewaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang
memperoleh 91 undi, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa
Samad dan Mohd Ali yang masing-masing mendapat tujuh undi.
Kira-kira 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian Umno buat pertama
kali mengundi mengikut sistem 'electoral college' bagi memilih tiga naib
presiden itu.
Setiap seorang daripada tiga calon yang memperolehi undi paling banyak
daripada perwakilan dikira memperoleh satu undi daripada bahagian
berkenaan.
Sebelum ini, hanya 2,500 perwakilan menentukan nasib pemimpin Majlis
Tertinggi semasa perhimpunan agung parti di ibu negara. – 21 Oktober,
2013.
Kesimpulannya, Melayu & Cina tolak dia.