KUALA TERENGGANU 25 Sept. - Dua perkhidmatan baharu yang disediakan
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu Hibah Amanah (pelabur Islam)
dan Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam) mampu merancakkan sektor
ekonomi sekali gus memberi impak positif khususnya kepada umat Islam
jika ia dapat dicairkan melalui cara yang betul.
Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul
Hamid berkata, mengikut statistik yang diperoleh melalui Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), ketika ini, harta orang Islam yang
tidak dituntut mencecah RM66.6 bilion.
Katanya, melalui dua perkhidmatan itu, pihaknya yakin dapat
mengurangkan masalah harta yang tidak dituntut kerana perkara itu jelas
merugikan masa depan pewaris mereka atau generasi masa depan.
"Melalui hibah yang diperkenalkan, rakyat digalakkan menyertai
perkhidmatan ini dalam usaha memudahkan urusan tuntutan harta pusaka
berbentuk pelaburan dalam ASNB dibuat jika berlaku kematian kepada
pemegang unit.
"Umat Islam perlu sedar mengenai kepentingan hibah kerana sebagai
umat Islam jika gagal menguruskan harta mereka, ia akan mengakibatkan
ekonomi Islam lemah dan bagi orang bukan Islam, pengagihan unit saham
dapat disegerakan jika mereka menyertai perkhidmatan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1 Malaysia (Kategori Institut
Pendidikan Guru (IPG) di IPG Kampus Datuk Razali dekat sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah
Che Othman dan Rektor IPG Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Sulaiman
Wak. - Utusan