Polis mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghalang abu atau mayat
bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang meninggal dunia di
Bangkok semalam, dari dibawa pulang ke negara ini.
Ketua polis
negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis memantau semua pintu masuk
ke negara ini bagi memastikan mayat tersebut tidak diseludup masuk.
“Semua
pintu masuk ke Malaysia di pantau dan pasukan polis berjaga-jaga untuk
mengelakkan mayat Chin Peng masuk ke negara ini,” katanya dalam satu
tulisan di Twitter.
Khalid dalam interaksi dengan pengguna
Twitter juga mempertahankan tindakan tersebut kerana menurutnya Chin
Peng bertanggungjawab ke atas kematian ramai anggota polis dan tentera
semasa Darurat.
Beliau antara lainnya mengulas kenyataan MP Segambut Lim Lip Eng.
Lim
membangkitkan bahawa penceroboh Sulu dari Filipina yang membunuh
sembilan orang anggota keselamatan Malaysia awal tahun lalu ini di
Sabah, dikebumikan di negeri tersebut.
Khalid berkata, kerajaan akan menggali semula kubur berkenaan apabila timbul tuntutan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga menegaskan bahawa mayat Chin Peng tidak akan dikebumikan di Malaysia.
Seorang
bekas anggota PKM, Fang Shan dilaporkan berkata, Chin Peng berhajat
agar abu mayatnya dikebumikan di kampung kelahirannya di Setiawan,
Perak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
bagaimanapun berkata, abu mayat itu juga tidak akan dibenarkan masuk ke
bumi Malaysia. - Malaysiakini
Jangan nampakkan sangat 'kurang cerdik' kita tu, malu kat orang.