Ramalan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) yang
mendakwa Umno kini “sudah tua dan bakal mati” ditempelak pemimpin parti
itu dan enggan menerima kenyataan yang dibuat di akhbar Utusan Malaysia
itu.
Mereka berkata, perdana menteri paling lama berkhidmat yang bersara
pada 2003 itu seharusnya sedar Umno kini dalam proses transformasi dan
pembaharuan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi melihat
permasalahan yang dilontarkan Dr Mahathir berlaku sejak zaman bekas
perdana menteri itu menjadi presiden Umno dari 1981 hingga 2003.
“Umno wujud dari dahulu lagi dan terpalit dengan pelbagai masalah sejak
Dr Mahathir menerajui Umno dan beliau tidak pula merawat kecederaan
itu,” kata Dr Mohd Puad kepada The Malaysian Insider.
Katanya, antara gejala dalam Umno adalah perpecahan, tidak meletakkan keutamaan kepada parti dan politik wang.
Dr Mohd Puad berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak boleh diterima
apabila mengatakan Umno akan mati sedangkan kepimpinan parti sedang
gigih merawat kepincangan yang berlaku.
“Selagi Umno tidak lari dari masalah dan memegang prinsip
kesederhanaan, menyeluruh dan keadilan untuk semua kaum, Umno akan
selamat,” katanya.
Dalam sebuah rencana yang disiarkan akhbar milik Umno Utusan Malaysia,
Dr Mahathir menasihati Umno supaya melantik pemimpin muda kerana parti
itu sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".
Katanya, dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasi
memerintah negara ini meskipun ada pihak yang memandang serong malah
menuduh dirinya mempunyai agenda sendiri.
Beliau berkata, Umno dahulu sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar
demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka
kebanyakannya adalah golongan muda.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin
yang juga ahli MT Umno berkata, pemimpin muda seperti Datuk Mukhriz
Mahathir, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan lain-lain adalah bukti Umno
kini menyerlahkan bakat muda dalam kepimpinannya.
“Prinsip parti jelas meletakkan bakat muda di enjin kedua parti iaitu
di sayap Pemuda dan Puteri. Apabila mereka ini mencecah usia 40 tahun,
mereka akan diserap ke dalam Majlis Tertinggi bagi mewarisi kepimpinan
parti.
“Dr Mahathir mungkin silap. Saya sendiri hormat dan menjadikan dirinya
sebagai idola. Bagi saya, beliau terlepas pandang dengan pembaharuan
yang dilakukan dalam parti,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang
juga ahli MT Umno menyifatkan apa yang disarankan Dr Mahathir adalah
satu pandangan bagi melihat perubahan dalam Umno secara terbuka dan
dinamik.
Katanya, Dr Mahathir mempunyai pengalaman dan pandangan yang luas
tetapi beliau harus sedar Umno kini sedang dalam proses transformasi.
“Saya hormat pandangan Dr Mahathir. Bagi saya keinginan pemimpin Umno
untuk berubah dapat dilihat daripada segi keberaniannya meletakkan
untung nasib kepada 150,000 perwakilan semasa pemilihan parti bulan
hadapan,” katanya. – 17 September, 2013.
Akidah Puad kena jaga. Tidak ada yang kekal melainkan Allah swt.