DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) meminta
kerajaan mengkaji semula kuota kepada peniaga Bumiputera supaya mereka
mendapat lebih banyak tempat berniaga di pusat membeli-belah terkemuka
dalam negara.
Setiausaha Agung DPMM, Hanafee Yusoff berkata, kuota itu perlu diteliti
dari segi kos sewa kedai selain peniaga Bumiputera perlu ditempatkan di
lot kedai yang lebih strategik.
“Produk Bumiputera mempunyai kualiti tinggi kerana kerajaan sering
membantu pengeluaran produk untuk mencapai standard yang ditetapkan
tetapi di kebanyakan pusat membeli-belah, jenama tempatan ditempatkan di
lokasi yang tersorok.
“Dengan kadar sewa terlalu mahal hingga mencecah puluhan ribu ringgit
sebulan, agak sukar peniaga tempatan atau Bumiputera untuk bersaing
dengan peniaga jenama antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar
Harian.
Menurutnya, kerajaan perlu mengkaji semula masalah ini supaya lebih
banyak peluang dapat diberi kepada peniaga Bumiputera seperti yang
termaktub dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu mengagihkan kekayaan
negara secara saksama antara kaum dengan ekuiti Bumiputera 30 peratus.
Hanafee berkata, peluang berniaga di pusat membeli-belah terkemuka
secara tidak langsung akan memajukan perniagaan Bumiputera seterusnya
mencapai ekuiti itu.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
menggambarkan penetapan kadar sewa yang terlalu tinggi kepada peniaga
tempatan seolah-olah strategi pihak pengurusan pusat beli-belah untuk
memberi peluang kepada ‘rakan mereka’ dan merupakan satu bentuk
penindasan kepada usahawan Bumiputera.
Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim berkata, tindakan seperti itu boleh diumpamakan seperti mencabul DEB.
“Kalau kita melawat Suria KLCC, berapa banyak sangat kedai Bumiputera?
Tidak sampai lima peratus daripada 500 lot. Tetapi kalau peniaga luar,
ada lebih 80 lot disediakan, ini tidak adil.
“Mengapa usahawan tempatan dipinggirkan? Kami kecewa kerana walaupun
perkara ini banyak berlaku, tiada tindakan diambil," katanya. - SH
Kamu tahu Umno gagal tolong Melayu tapi kamu sokong lagi.