Universiti Malaya memulakan langkah baru apabila membuat polisi
dengan menggabungkan 16 fakulti menjadi 6 fakulti sahaja. Tindakan ini
harus dipuji untuk menuntut perubahan secara dinamik yang berlaku di
universiti.
Namun tidak semua perubahan itu mempunyai nilai
kebaikan yang tersendiri. Kadang kala perubahan itu dilakukan untuk
kepentingan tertentu daripada kepentingan bersama. Perlu kita teliti
kembali apakah rasionalnya untuk digabungkan fakulti kepada 6 fakulti.
Apakah
Universiti Malaya tidak mampu melahirkan mahasiswa yang produktif dalam
menyumbang sesuatu kepada negara? Ke manakah hala tuju universiti kita
yang sebenar dalam melahirkan ilmuan yang memenuhi pasaran kerja semasa?
Atau untuk mengejar ranking dengan cepat dan mengambil model
universiti di luar negara sebagai acuan?
Kita perlu akui bahawa
keterlibatan di dalam ranking universiti di peringkat dunia adalah
sesuatu yang sangat mencabar, demi menjadikan Universiti dikenali dan
mempunyai prestij tinggi. Banyak perkara dan perubahan perlu dilakukan
sama ada melibatkan pensyarah, pentadbiran, kewangan dan sebagainya.
Tetapi impaknya belum dapat dipastikan lagi.
Dalam keadaan
sekarang ini, banyak pensyarah asing yang dibawa masuk untuk mengajar,
akan tetapi mahasiswa merungut tidak faham dengan pensyarah tersebut.
Perkara ini sudah pastinya memberikan kesan buruk ada mahasiswa. Ramai
pensyarah yang ditukar apabila dilihat mengganggu dan tidak sealiran
dalam idea penggabungan fakulti ini.
Keputusan penggabungan ini
adalah keputusan yang telah diputuskan di peringkat Senat universiti dan
akan mula dikuatkuasakan. Persoalannya, mengapakah mahasiswa tidak
diberikan penerangan mengenai hal ini? Mengapa pentadbiran universiti
banyak membuat spekulasi yang dimainkan di akhbar, dengan menafikan isu
penggabungan ini akan berlaku.
Di manakah martabat mahasiswa
diletakkan apabila keputusan ini dibuat tanpa wakil mahasiswa diajak
bincang dan dirunding. Tidak disebut universiti jika tiada mahasiswa dan
penuntut ilmu di dalamnya.
Tindakan ini seolah-olah menghina
dan mencabul hak mahasiswa yang diiktiraf di dalam universiti untuk
memberikan pandangan dan idea serta meraikan kebebasan bersuara yang
dijamin oleh perlembagaan. Mungkinkah bagi mereka, mahasiswa ini hanya
robot dan hanya perlu menerima sahaja apa yang diputuskan oleh pihak
atasan?
Kepincangan ini berlaku kerana sistem AUKU (Akta
Universiti dan Kolej Universiti) yang masih membelenggu mahasiswa.
Walaupun pindaan demi pindaan dibuat namun, ia masih membantutkan
pemikiran dan idealism mahasiswa. Halatuju universiti kian bercelaru,
tradisi ilmu tercalar dan tercabar akibat dasar yang dilihat tidak
demokratik.
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
membantah isu penggabungan ini, selagi belum dibawa bincang dengan
mahasiswa dan mendapat faedah yang tepat serta mengambil kira implikasi
yang akan di hadapi di masa depan.
PMIUM juga menuntut supaya
kajian penggabungan ini dihebahkan kepada umum supaya masyarakat dalam
membuat penilaian terhadap polisi baru ini.
MOHAMED BUKHAIRY MOHAMED SOFIAN adalah presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
Sebab ada fakulti yang kurang produktif.