Pemuda PAS Selangor terkilan dengan sikap Menteri Besar Tan Sri Khalid
Ibrahim yang tidak mengambil kira teguran bagi memajukan bola sepak
negeri itu sehingga mencabar kembali untuk memilih sama ada menggunakan
peruntukan untuk membina masjid atau bola sepak.
Dengan nada
menyindir, Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohd Sany Hamzan berkata,
hal demikian mungkin disebabkan Khalid "terlalu lama dikelilingi oleh
roh simpanan tetap yang berbilion-bilion sehingga menghilangkan perasaan
terhadap roh sukan".
"Pemuda
PAS Negeri Selangor menyifatkan bahawa cabaran yang meminta supaya
Pemuda PAS Selangor memilih sama ada untuk menggalakkan bola sepak atau
membina masjid sebagai tidak adil kerana kedua-duanya adalah perkara
yang berbeza.
"Masjid sememangnya diperlukan untuk perkembangan
agama dan kerohanian rakyat Selangor manakala sukan bola sepak adalah
salah satu acara sukan yang boleh membina kesihatan fizikal dan sebagai
alat perpaduan rakyat Selangor terutamanya kalangan generasi muda,"
katanya.
Sebelum ini, Mohd Sany mengkritik kekurangan penajaan
Menteri Besar Incorporated (MBI) sehingga menyebabkan pemain berbakat
seperti Amri Yahyah, Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan Asraruddin
Putra Omar cuba dipikat Kelab Johor Darul Takzim dengan tawaran gaji
lumayan.
Sebagai reaksi, Khalid yang juga presiden Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS) mencabar dewan itu membuat pilihan
memandangkan setiap tahun peruntukan membiayai bola sepak melebihi
pembinaan sebuah masjid.
Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Sany
berkata, pihaknya berharap Khalid membuat pertimbangan sewajarnya
terhadap isu dibangkitkan demi pemerkasaan agenda sukan negeri.
Pemuda PAS negeri itu juga berharap Khalid dapat merombak semula
kepimpinan FAS dan menggantikannya dengan muka baru yang lebih progresif
dan efisien untuk menyelamatkan maruah pasukan The Red Giants.
"Selain itu, pihak pengurusan FAS juga diharapkan dapat menarik
penaja-penaja yang baru yang boleh membantu untuk mengembalikan
kegemilangan skuad bola sepak negeri Selangor," kata Mohd Sany. - Malaysiakini
Memalukan PAS.