KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melantik
bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah
sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Kesederhanaan
Global (GMMF).
Pengerusi GMMF, Tan Sri Razali Ismail dalam satu
kenyataan petang ini berkata, pelantikan bekas Ahli Parlimen Temerloh
antara 2008 dan 2013 itu sejajar dengan pengukuhan dan usaha berterusan
Malaysia dalam mempromosikan nilai kesederhanaan di dalam dan luar
negara.
"Dikenali sebagai seorang yang berpandangan
progresif mengenai politik dan lantang dalam keinginan untuk sesuatu
perubahan, trek rekod beliau dalam membela pembaharuan demokratik dan
memperjuangkan hak belia, menjadikan beliau sesuai untuk memimpin
yayasan dan membantu memacu perubahan," katanya.
Razali
berkata, Saifuddin yang juga seorang penulis profilik, mempunyai
pengalaman termasuk menulis untuk kolum dalam Utusan Malaysia, Berita
Harian dan Nanyang Siang Pau dan kini kolumnis bagi Sinar Harian,
fz.com, Oriental Daily, See Hua Daily Sarawak dan Makkal Osai, serta
penganalisis program "Sudut Pandang" di Astro Awani.
Selain
menjadi kolumnis, beliau juga menerbitkan enam buku, antaranya, Politik
Baru (2008), yang menjadi rujukan kepada penganalisis politik Malaysia.
"Artikel beliau memberi tumpuan kepada hala tuju baru
politik di Malaysia dan kepentingan membabitkan belia dalam pembangunan
negara," katanya. Perdana Menteri adalah penaung yayasan itu.- BH