Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata BN sepatutnya memberi
penghormatan kepada pembangkang sebelum menuntut agar pakatan parti
tersebut membentuk kabinet bayangan.
Katanya, BN antara lainnya
harus menghormati undang-undang berhubung persidangan parlimen dan
memberikan hak serta keistimewaan pembangkang.
Beliau mengulas kenyataan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menggesa Pakatan untuk menamakan kabinet bayangannya.
"Khairy
sebagai anggota kerajaan perlu memastikan bahawa beliau memainkan
peranan utama dalam pembentukan asas bagi sistem dua parti yang
berkesan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Pakatan
menunjukkan teladan dengan membenarkan pembangkang di negeri yang
dikuasainya untuk mengetuai jawatankuasa pemeriksa kira-kira, namun BN
enggan memenuhi jawatan tersebut.
Tambahnya, Khairy boleh memastikan bahawa Umno memainkan peranan positif sebagai pembangkang di negeri tersebut.
Katanya
lagi, Khairy juga sepatutnya membuat kenyataan umum untuk menyokong
kenyataan ketua Pemuda PERKASA, Irwan Fahmi Ideris yang mahu PM Datuk
Seri Najib Razak meletak jawatan.
"Itu lebih penting dan fundamental daripada meminta Pakatan Rakyat membentuk kabinet bayangan," katanya dalam satu kenyataan.
Abdul
Aziz turut mengkritik ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan kerana
membangkitkan soal kabinet bayangan tanpa memahami syarat bagi sistem
dua parti.
Katanya, ia antara lain mensyaratkan agar wujud
kebebasan media dan kesanggupan untuk berhujah, namun gabungan parti
pemerintah tidak berminat dengan perkara ini.
Selain itu,
kerajaan juga perlu memastikan Jabatan Pendaftar Pertubuhan untuk agar
tidak melengah-lengahkan pendaftaran Pakatan Rakyat dan Suruhanjaya
Pilihan Raya pula perlu memastikan pilihan raya yang bersih dan adil.
"Tiada
gunanya meminta pembangkang membentuk kabinet bayangan jika kerajaan
asyik melarikan diri dari perbahasan umum dengan pembangkang," katanya. - Malaysiakini