MONTREAL 11 Sept. - Kerajaan wilayah Quebec, semalam mencadangkan
undang-undang yang mengharamkan kakitangan kerajaan memakai pakaian
agama seperti tudung, purdah, serban dan kopiah semasa bertugas.
Cadangan yang dipanggil sebagai 'piagam bernilai' akan diperkenalkan
untuk dibahaskan pada penghujung tahun ini dan mendapat kritikan di
seluruh Kanada.
Menteri yang bertanggungjawab dengan cadangan itu, Bernard Drainville
berkata, matlamat pelaksanaan undang-undang itu adalah bagi memastikan
keberkecualian menyeluruh kerajaan ke atas agama.
Pengharaman itu akan dikuatkuasakan kepada semua kakitangan awam termasuk guru dan polis.
Bagaimanapun, katanya, peraturan itu tidak akan dikenakan kepada ahli
politik yang dilantik sebagai pegawai kerajaan kerana mereka dipilih
oleh rakyat.
Selain itu, pemakaian simbol agama yang lebih kecil seperti lambang bintang David pada cincin akan dibenarkan.
Kerajaan persekutuan dalam pada itu berkata, mereka akan mendapatkan
nasihat daripada Jabatan Kehakiman dan mencadangkan, mereka akan membawa
isu itu ke mahkamah, sekiranya cadangan itu melanggar hak asasi
manusia.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan yang bertudung, Kathy
Malas berkata, dia tidak mempunyai cadangan untuk berhenti kerja atau
menanggalkan hijabnya, walaupun piagam itu dikuatkuasakan sebagai
undang-undang.
"Saya akan menentang cadangan itu, ... sudah pasti. Bagi sebuah
kerajaan untuk menentukan bagaimana rakyatnya harus berpakaian, bagi
saya, ia tidak munasabah," katanya.
Seorang pensyarah undang-undang Universiti Montreal, Jean-Francois
Gaudreault-DesBiens pula berkata, cadangan itu akan dicabar berdasarkan
peruntukan Perlembagaan. - AGENSI