10 September 2013

Jangan Kritik Tempat Kerja Secara Terbuka, Dalam Talian - KP Perkhidmatan Awam

PETALING JAYA: Budaya menggunakan media sosial untuk mengkritik telah menjadi masalah di kalangan pekerja muda, termasuk dalam sektor perkhidmatan awam sehingga Jabatan Perkhidmatan Awam terpaksa mengeluarkan surat pekeliling mengingatkan mereka supaya menghentikannya atau berdepan kemungkinan tindakan.

Oleh itu, jika anda tidak bersetuju dengan dasar kerajaan atau berasa diabaikan secara tidak adil dalam urusan kenaikan pangkat dan berfikir untuk mengadu dalam talian, anda dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian.

Ketua pengarah, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata beberapa penjawat awam telah menggunakan Twitter, blog, Whatsapp , Facebook dan Youtube untuk mempersendakan inisiatif kerajaan.

"Kami telah menerima banyak maklum balas dan aduan mengenai penjawat awam memberi pandangan negatif terhadap program kerajaan melalui media sosial dan internet.


"Mereka harus sedar bahawa ini adalah satu kesalahan," katanya dalam surat kepada semua kementerian, kerajaan dan agensi-agensi kerajaan.

Mohamad Zabidi mengingatkan kakitangan awam peruntukan di bawah seksyen 19 (1) Peraturan Am (Tatatertib dan Kelakuan) 1993 melarang mereka daripada membuat kenyataan secara bertulis atau lisan yang boleh menjejaskan atau menyebabkan kesan buruk ke atas dasar-dasar, keputusan atau program kerajaan.

"Mereka tidak boleh berkata apa-apa yang berpotensi memalukan atau meletakkan Kerajaan dalam situasi buruk.
"Mereka juga tidak dibenarkan untuk mengedarkan maklumat atau komen mengenai dasar-dasar itu dalam apa jua cara," katanya.

"Walaupun agensi-agensi kerajaan mengambil kesempatan daripada media sosial untuk mempromosikan wacana dan menghebahkan inisiatif mereka, penjawat awam tidak perlu menggunakan platform ini untuk mengkritik pihak berkuasa.

"Pekerja-pekerja sektor awam perlu sentiasa ingat bahawa mereka perlu kekal setia kepada Yang Di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan pada setiap masa.

"Ini jelas dinyatakan dalam undang-undang yang mengawal perkhidmatan awam.
"Saya berharap agar semua ketua-ketua jabatan menganggap serius perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar arahan ini," katanya.

Tambahnya, mereka yang didapati bersalah boleh diturunkan pangkat, dipindahkan atau dalam senario kes terburuk, dipecat. - Mstar

Penjawat awam otak mesti beku.