KUALA TERENGGANU - Sebelum ini, kita hanya mendengar duit tabung masjid
dicuri, beg tangan dan barang berharga milik jemaah dilarikan ketika
sedang solat, tetapi kejadian berbeza dialami seorang jemaah wanita di
sebuah masjid di Chendering, di sini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, kira-kira jam 8.40 malam, ibu empat anak itu
nyaris menjadi mangsa ragut oleh penjenayah yang menutup muka dengan
tuala ketika sedang menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid
berkenaan.
Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 52, ketika
kejadian, dia bersama tujuh lagi jemaah wanita sedang bersolat di ruang
solat tingkat bawah, manakala jemaah lelaki di ruang solat tingkat atas
masjid.
“Disebabkan jemaah tidak ramai, jadi kami hanya membuat satu saf sahaja dan saya mengambil tempat di kedudukan paling tengah.
“Semasa kejadian, imam sedang membaca surah al-Fatihah untuk rakaat
kedua. Ketika sedang khusyuk itu, tiba-tiba bahu saya sebelah kiri
dicengkam dengan kuat sebelum leher diraba oleh penjenayah yang muncul
dari arah belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint
Jaya, Chendering, di sini, semalam.
Kak Ani berkata, terkejut dengan situasi itu, dia terus memalingkan
muka dan mendapati seorang lelaki bertubuh sasa yang menutup muka dengan
sehelai tuala berdiri di belakangnya.
“Saya menjerit sekuat hati kerana terkejut dan disebabkan jeritan saya
itu, semua jemaah wanita terpaksa memberhentikan solat untuk membantu.
“Malah dua daripada mereka bertindak berani cuba mengejar penjenayah terbabit tetapi gagal,” katanya.
Jelasnya lagi, penjenayah yang mengenakan baju T dan berseluar jeans
itu mungkin bukan sahaja berhasrat hendak meragut rantai leher
dipakainya, tetapi turut mempunyai niat mengambil kesempatan untuk
mencabul.
“Ini kerana, ketika dia mencengkam bahu, perbuatan awalnya lebih kepada meraba dada sebelum bertindak menarik rantai di leher.
“Tetapi apa yang saya musykilkan, bagaimana penjenayah itu tahu saya
memakai rantai sedangkan semasa pergi ke masjid, saya terus memakai
telekung sembahyang dan sememangnya tidak akan nampak barang kemas
dipakai,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun insiden itu sudah berlalu beberapa hari, namun dia masih trauma.
“Setiap kali hendak solat, saya merasakan seperti ada orang di belakang walaupun hanya solat di rumah.
“Selepas kejadian, saya masih tidak berani ke masjid dan insyaALLAH,
selepas semangat saya pulih dalam beberapa hari nanti, saya pasti akan
menjadi salah seorang jemaah di masjid itu lagi,” katanya. - SH
Di mana-mana sudah tidak selamat. Mana pemimpin?