KUCHING - Mufti Perlis Datuk Dr. Juanda Jaya hari ini menyarankan supaya
perkhidmatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dipertingkatkan
memandangkan ramai pesakit yang terpaksa menunggu hingga berjam-jam bagi
mendapatkan rawatan.
"Saya sendiri terpaksa menunggu hampir lima jam di Bahagian Kecemasan
hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan akhirnya hanya menerima
panadol serta ubat luka," katanya.
Juanda membuat saranan itu berikutan kedatangannya ke HUS untuk
mendapatkan rawatan bersama isterinya ekoran mereka dirompak di rumah di
Samariang, dekat sini oleh dua lelaki bersenjatakan pedang samurai,
awal pagi semalam.
Insiden kira-kira 4.30 pagi itu menyebabkan beliau kerugian kira-kira
RM50,000 selepas wang tunai serta pelbagai barangan kemas termasuk
cincin perkahwinan dilarikan perompak berkenaan.
Isteri beliau turut cedera di tangan dan muka manakala pembantu rumah
mereka mengalami kecederaan di belakang kepala dan mulut.
Menyentuh isu jenayah, Juanda berkata sebuah lagi balai polis perlu
diwujudkan di Petra Jaya, memandangkan kawasan tersebut berada dalam
kawasan Bandaraya Kuching dan semakin membangun.
Beliau berkata dalam masa yang sama, bilangan anggota polis di Balai
Polis Gita, dekat sini perlu ditambah, selaras dengan peningkatan jumlah
penduduk dan keluasan kawasan kawalan.
"Kedua-dua langkah ini dilihat penting bagi mengawal keselamatan
penduduk dan meningkatkan usaha memerangi jenayah di sekitar Petra Jaya
dan kawasan yang terletak berjauhan dari Kampung Gita," katanya.
Juanda turut berharap pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan polis
dalam menjaga keselamatan dengan memasang lebih banyak lampu jalan di
beberapa laluan kawasan perumahan.
"Langkah itu dilihat wajar kerana majoriti penduduk di kawasan
perumahan membayar cukai pintu dan mereka berhak mendapat jaminan
keselamatan tersebut," katanya. - Bernama
Rupanya baru tahu masalah rakyat.