18 August 2013

Ops Cantas: Lelaki terlibat samun ditahan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes samun berkumpulan, adalah antara lapan yang ditahan dalam Ops Cantas di sekitar Ampang.   
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata pemeriksaan ke atas lelaki terbabit mendapati dia memiliki empat rekod dikehendaki polis, termasuk satu kes samun berkumpulan di Hulu Klang.
  
"Ketika ditahan, lelaki terbabit menaiki sebuah motosikal yang dilapor hilang di Pudu bulan lepas. Selain motosikal itu, kami turut merampas dua telefon bimbit dan wang tunai daripada lelaki terbabit," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Dalam operasi khas bersama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu, polis turut menahan dua lelaki di Ukay Perdana dalam sekatan jalan raya kerana disyaki melakukan jenayah pecah rumah.
  
"Di dalam kereta terbabit, kami menemui pemutar skru, sepasang sarung tangan, dua walkie-talkie, satu pisau lipat panjang, alat semburan dan dadah jenis syabu dan eramin 5," katanya.

Amiruddin berkata seramai 10 pegawai dan 43 anggota dari ibu pejabat polis daerah itu terlibat dalam operasi selama enam jam berakhir pukul 6 pagi ini yang merangkumi sekatan jalan raya dan pemeriksaan terhadap individu mencurigakan di restoran 24 jam di sekitar Ampang.
  
"Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 20-an yang terlibat dalam pelbagai kesalahan antaranya samun, curi kenderaan dan dadah," katanya.
  
Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor sebagai perintis, sebelum ia diperluas ke seluruh negara.
  
Amiruddin berkata dalam operasi itu polis turut memeriksa 83 individu dan 55 kenderaan. - Bernama

Teruskan usaha ini. Rakyat perlu hidup dalam keadaan yang selamat daripada penjenayah.